SYDNEY: Lelaki yang didakwa sebagai penembak dalam serangan maut di Bondi gagal dalam permohonannya di mahkamah bagi menghalang pendedahan nama dan alamat ahli keluarganya, meskipun pihak pembelaan mendakwa keselamatan mereka terancam.
Peguam kepada Naveed Akram, 24, yang berdepan 59 pertuduhan berkaitan serangan ke atas sebuah festival Yahudi di Pantai Bondi pada Disember lalu sehingga mengorbankan 15 nyawa, berhujah bahawa ibu, abang dan kakaknya boleh menjadi sasaran tindakan vigilante serta telah menerima ugutan dan penderaan.
Bulan lalu, Mahkamah Sydney mengeluarkan perintah sementara menghalang pendedahan maklumat keluarga Akram.
Namun pada Khamis, perintah itu ditarik balik selepas beberapa organisasi media menentang permohonan tersebut.
Hakim Hugh Donnelly memutuskan bahawa kes itu telah menarik perhatian awam yang “belum pernah berlaku sebelum ini” di Australia dan peringkat global, serta maklumat mengenai keluarga tertuduh sudah pun tersebar secara meluas di internet.
“Kes ini mencetuskan minat awam yang luar biasa, kemarahan, rasa terkejut dan kesedihan,” kata Donnelly.
Beliau menambah permohonan untuk perintah halangan selama 40 tahun tidak memenuhi ambang keadaan luar biasa, selain hanya terpakai di Australia dan tidak dapat mengawal media sosial serta liputan antarabangsa.
Menurut laporan Australian Broadcasting Corporation (ABC), hakim berkata kes itu “luar biasa akibat skala dan intensiti ulasan” di platform luar negara.
Beliau juga menyifatkan adalah “malang” maklumat lesen memandu Akram telah disiarkan dalam talian, namun mendapati pihak pembelaan gagal menjelaskan bagaimana perintah itu boleh dikuatkuasakan secara berkesan.
Mahkamah turut menyatakan bahawa walaupun bimbang tentang keselamatan ahli keluarga, pendedahan identiti ibu Akram tidak dapat dielakkan, manakala butiran mengenai pekerjaan adik-beradiknya tidak relevan kerana mereka berkemungkinan tidak terlibat dalam prosiding mahkamah.
Akram hadir ke mahkamah melalui pautan video dari penjara kawalan keselamatan tinggi.
Dalam perbicaraan sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa orang ramai pernah memandu melepasi rumah keluarganya sambil menjerit ugutan bunuh, selain mesej dan panggilan telefon berunsur ancaman diterima.
“Kami hidup dalam ketakutan setiap hari. Saya bimbang nyawa saya dan anak-anak saya,” tulis ibu Akram dalam satu kenyataan yang dibacakan di mahkamah.
Peguam bagi pihak media berhujah bahawa identiti keluarga Akram sudah diketahui umum dan tiada bukti risiko segera terhadap keselamatan mereka, menurut laporan Guardian Australia.