WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran sehingga AS$10 juta bagi maklumat mengenai pegawai tinggi tentera dan perisikan Iran, termasuk Pemimpin Tertinggi baharu negara itu, Ayatollah Mojtaba Khamenei.
Ganjaran itu menyasarkan 10 pegawai yang dikaitkan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), menurut laman web Jabatan Negara AS.
Pasukan tentera itu, yang diwujudkan selepas Revolusi Islam Iran pada 1979, setia kepada pemimpin tertinggi dan ditugaskan melindungi kepimpinan ulama Syiah.
Mojtaba Khamenei baru-baru ini menggantikan ayahnya, Ali Khamenei, sebagai pemimpin tertinggi Iran selepas beliau terbunuh bersama beberapa pegawai atasan Iran dalam serangan bersama AS dan Israel yang bermula pada 28 Februari.
Mojtaba, yang dipercayai cedera dalam serangan itu, belum muncul di khalayak umum sejak itu, walaupun beliau mengeluarkan kenyataan pertamanya pada Khamis.
Selain pemimpin tertinggi, AS turut mencari maklumat mengenai ketua keselamatan Iran, Ali Larijani; Menteri Perisikan, Esmail Khatib; Menteri Dalam Negeri, Eskandar Momeni serta dua pegawai di pejabat Khamenei.
Larijani pada Jumaat muncul dalam video yang disahkan oleh Reuters bersama Presiden Masoud Pezeshkian dan Menteri Luar, Abbas Araqchi ketika menghadiri perhimpunan di Tehran, meskipun Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth mendakwa kepimpinan Iran sedang “bersembunyi” di bawah tanah.
Laman web ganjaran itu turut menyenaraikan empat lagi pegawai, termasuk komander IRGC dan setiausaha majlis pertahanan, tetapi tidak memasukkan nama atau gambar mereka.
“Individu-individu ini memerintah dan mengarahkan pelbagai elemen IRGC, yang merancang, mengatur dan melaksanakan kegiatan keganasan di seluruh dunia,” kata Jabatan Negara AS.
Pengawal Revolusi tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen pada Jumaat — hari rehat mingguan di Iran.
Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York juga tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk komen.
AS telah melabel IRGC sebagai organisasi pengganas asing, menuduhnya bertanggungjawab ke atas serangan yang mengorbankan warga AS.
Washington juga menuduh Iran merancang plot pembunuhan terhadap Presiden Donald Trump dan pegawai AS lain sebagai tindak balas kepada pembunuhan komander tentera Iran, Qassem Soleimani, pada 2020.
Iran menafikan menjadi penaja keganasan.
Pegawai Iran secara rutin menolak dakwaan keganasan oleh AS sebagai serangan politik tidak berasas, sambil berhujah bahawa Washington mengemukakan dakwaan sedemikian untuk mewajarkan tekanan atau sekatan. - Agensi