Skip to main content

Dunia

Tanah runtuh di selatan Ethiopia ragut sekurang-kurangnya 52 nyawa

Locals search for the bodies of mudslide victims in the Gacho Baba district of the Gamo Zone in southern Ethiopia on Tuesday, March 10, 2026. (Gacho Baba District Government Communication Affairs Department via AP)
Bencana berlaku di beberapa daerah termasuk Bonke, Kamba dan Gacho Baba, menyebabkan banyak kediaman tertimbus di bawah runtuhan tanah dan lumpur. -Foto AP

ADDIS ABABA: Sekurang‑kurangnya 52 mangsa disahkan terkorban dalam kejadian tanah runtuh di wilayah selatan Ethiopia susulan hujan lebat berterusan yang melanda kawasan pergunungan sejak awal minggu ini.

Pejabat komunikasi Zon Gamo dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan bencana itu berlaku di beberapa daerah termasuk Bonke, Kamba dan Gacho Baba, menyebabkan banyak kediaman tertimbus di bawah runtuhan tanah dan lumpur.

Selain angka kematian yang disahkan, puluhan lagi penduduk dilaporkan masih hilang, mencetuskan kebimbangan jumlah korban akan terus meningkat.

Operasi mencari dan menyelamat kini giat dijalankan, namun berdepan cabaran besar berikutan timbunan tanah serta sisa runtuhan yang menyekat laluan pengangkutan utama dan merosakkan infrastruktur penting di kawasan terbabit.

“Pihak berkuasa sedang bertungkus-lumus menyelaraskan bantuan kecemasan, namun keadaan rupa bumi yang mencabar dan cuaca buruk menyukarkan jentera berat untuk sampai ke lokasi kejadian,” menurut kenyataan tersebut.

Pihak berkuasa wilayah turut menggesa penduduk di kawasan berisiko tinggi supaya berpindah ke lokasi selamat, memandangkan hujan lebat dijangka berterusan dalam tempoh terdekat.

Kejadian ini antara bencana tanah runtuh paling buruk pernah direkodkan di kawasan tanah tinggi Ethiopia dalam beberapa tahun kebelakangan, menonjolkan lagi kerentanan wilayah itu terhadap risiko hidro‑meteorologi. 

Must Watch Video