ISTANBUL: Syria menyertai inisiatif global bertujuan memperkukuh komitmen politik terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dengan menyifatkan langkah itu sebagai sebahagian daripada usaha pentadbiran baharu memperluas libat urus bertanggungjawab dengan masyarakat antarabangsa.
Kementerian Luar berkata Wakil Tetap Syria ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Olabi menyerahkan dokumen penyertaan itu dalam pertemuan dengan Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, Mirjana Spoljaric Egger, lapor Anadolu Ajansi.
Kementerian berkata langkah berkenaan mencerminkan komitmen Damsyik terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan menerusi langkah praktikal serta diplomasi aktif.
Keputusan berkenaan turut menghormati penderitaan dan pengorbanan rakyat Syria akibat “pelanggaran serius dan sistematik” yang dilakukan rejim terdahulu, menurut kementerian.
Penyertaan Syria bertujuan menyokong usaha antarabangsa untuk memperkukuh penghormatan undang-undang kemanusiaan, melindungi orang awam, mengurangkan penderitaan manusia dan menegakkan prinsip kemanusiaan ketika konflik bersenjata.
Damsyik turut menyatakan kesediaan untuk menyumbang secara bertanggungjawab dan membina menerusi kerjasama pelbagai hala serta penyelarasan lebih erat dengan rakan antarabangsa, khususnya Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.
Hak asasi manusia sejak sekian lama kekal antara isu paling kontroversi dalam hubungan antarabangsa Syria, dengan badan PBB dan pertubuhan hak asasi berulang kali menuduh rejim terdahulu melakukan penahanan sewenang-wenangnya, penyeksaan sistematik dan kehilangan secara paksa.
Di bawah Bashar al-Assad yang memerintah Syria hampir 25 tahun, negara itu berdepan tuduhan meluas berhubung pencabulan sistematik dan serangan terhadap orang awam.
Assad melarikan diri ke Rusia pada Disember 2024, sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Baath selama beberapa dekad yang bermula pada 1963.
Pentadbiran peralihan yang dipimpin Ahmad al-Sharaa dibentuk pada Januari 2025 dan sejak itu berusaha memperluas libat urus antarabangsa serta memperkukuh kerjasama dengan institusi antarabangsa dan kemanusiaan.
-- BERNAMA-ANADOLU