Skip to main content

Dunia

Suhu global dijangka catat rekod baharu apabila El Nino semakin memuncak

41521562691_matahari.jpg
Pakar iklim memberi amaran bahawa kesan fenomena kali ini mungkin lebih serius kerana berlaku ketika dunia sudah berada dalam keadaan pemanasan global. - Gambar hiasan

LONDON: Saintis memberi amaran suhu global berpotensi mencapai paras rekod dalam tempoh terdekat susulan perkembangan fenomena El Nino di Lautan Pasifik yang dijangka menjadi antara paling kuat pernah direkodkan.

Data terkini menunjukkan suhu permukaan laut di beberapa bahagian Pasifik telah meningkat sekitar 0.5 darjah Celsius melebihi paras normal, satu petunjuk awal kepada pembentukan El Nino yang biasanya berlaku apabila air laut menjadi lebih panas daripada biasa.

Agensi seperti Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) meramalkan fenomena itu berkemungkinan bermula dalam masa terdekat dan terus menguat sehingga penghujung tahun, dengan kebarangkalian tinggi ia menjadi El Nino kuat atau “super El Nino”.

Model ramalan turut menunjukkan suhu di tengah Lautan Pasifik boleh meningkat sehingga sekitar 3°C menjelang musim luruh, satu tahap yang berpotensi meletakkannya antara peristiwa terkuat dalam sejarah.

Pakar memberi amaran bahawa jika fenomena ini berterusan sehingga tahun hadapan, ia boleh mendorong suhu global ke tahap tertinggi pernah direkodkan, dengan 2027 berisiko menjadi tahun paling panas.

El Nino merupakan fenomena semula jadi yang mengubah corak cuaca global.

Ia boleh menyebabkan banjir besar di sesetengah kawasan seperti Amerika Selatan, namun membawa risiko kemarau teruk di Asia Tenggara dan Australia.

Selain itu, ia juga berpotensi mencetuskan gelombang haba, kebakaran hutan, ribut kuat serta mengganggu bekalan makanan global akibat hasil pertanian yang menurun.

Pakar iklim turut memberi amaran bahawa kesan fenomena kali ini mungkin lebih serius kerana berlaku ketika dunia sudah berada dalam keadaan pemanasan global.

Gabungan kedua-dua faktor itu boleh meningkatkan risiko bencana cuaca ekstrem dan memberi kesan kemanusiaan yang besar di seluruh dunia.
 

Must Watch Video