Skip to main content

Dunia

Ratusan motosikal haram dilupus dalam operasi besar-besaran di New York

NYPD CRUSHES 200+ Illegal Mopeds as City Seizes Nearly 6,000  Mopeds are legal but thousands in NYC are unregistered, uninsured, and unlicensed.
Sisa kenderaan yang dimusnahkan akan dikitar semula, sejajar usaha bandar itu untuk memastikan ia tidak digunakan semula secara haram. - Foto X/TaraBull

NEW YORK: Pihak polis New York (NYPD) memusnahkan lebih 200 skuter, moped dan motosikal haram menggunakan jentolak di Staten Island dalam usaha memperketat penguatkuasaan terhadap kenderaan tidak berdaftar di bandar itu.

Operasi yang dijalankan bersama Jabatan Sanitasi itu merupakan sebahagian daripada kempen berterusan bagi membanteras penggunaan kenderaan dua roda yang tidak berdaftar, tidak diinsuranskan atau menggunakan nombor plat palsu.

Menurut NYPD, sekurang-kurangnya 5,700 kenderaan haram telah disita sejak awal tahun 2026, meningkat kira-kira 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis, Jessica Tisch, berkata kenderaan tersebut kini menjadi isu keselamatan awam yang serius kerana sering digunakan dalam jenayah.

“Gabungan kelajuan, keupayaan bergerak lincah dan identiti sukar dikesan menjadikan kenderaan ini pilihan penjenayah,” katanya.

Tindakan tegas itu turut dipacu oleh insiden tragis pada 1 April lalu apabila seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan maut terkena peluru sesat dalam satu kejadian tembakan di Brooklyn.

Suspek dilaporkan melarikan diri menggunakan moped haram.

Menurut pihak berkuasa, penghancuran kenderaan yang disita bukan sahaja bertujuan mengeluarkannya dari jalan raya, tetapi juga sebagai amaran kepada pesalah bahawa tindakan undang-undang akan dikenakan.

Sisa kenderaan yang dimusnahkan akan dikitar semula, sejajar usaha bandar itu untuk memastikan ia tidak digunakan semula secara haram.

Langkah ini mencerminkan peningkatan usaha pihak berkuasa New York dalam menangani jenayah jalanan, selain memastikan keselamatan penduduk terus terjamin.
 

 

Must Watch Video