MALE: Lima warga Itali dilaporkan maut dalam satu kemalangan selam skuba di Maldives ketika cuba meneroka gua bawah laut di kawasan Vaavu Atoll.
Kementerian Luar Itali memaklumkan mangsa dipercayai menyelam hingga kedalaman kira-kira 50 meter sebelum gagal kembali ke permukaan.
Pasukan keselamatan Maldives berkata satu mayat telah ditemui di dalam gua sedalam kira-kira 60 meter, manakala empat lagi mangsa dipercayai masih berada di lokasi sama.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan peralatan khas, berikutan keadaan yang disifatkan berisiko tinggi.
Kumpulan penyelam itu dilaporkan masuk ke dalam air pada pagi Khamis, namun hilang selepas tidak timbul semula, menyebabkan kru bot selam melaporkan kehilangan mereka kepada pihak berkuasa.
Polis turut memaklumkan keadaan cuaca di kawasan tersebut adalah buruk, dengan amaran kuning dikeluarkan kepada bot penumpang dan nelayan.
Universiti Genoa mengesahkan antara mangsa termasuk seorang profesor biologi marin, anaknya serta dua penyelidik muda.
Insiden ini dipercayai kemalangan selam skuba paling buruk pernah berlaku di Maldives, yang terkenal sebagai destinasi pelancongan popular dengan aktiviti selam dan snorkeling.
Walaupun kejadian seumpama itu jarang berlaku, beberapa kemalangan selam dan aktiviti air telah dilaporkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.