MELBOURNE: Pakar kesihatan kanak-kanak Australia melancarkan satu strategi bersepadu di peringkat nasional yang merangkumi pelbagai pendekatan untuk menangani peningkatan obesiti dalam kalangan kanak-kanak, dengan memberi tumpuan kepada kesihatan jantung, pemakanan, senaman dan tidur, lapor Xinhua.
Inisiatif yang dikenali sebagai GenHEART dan diterajui oleh Institut Penyelidikan Kanak-kanak Murdoch (MCRI) Australia akan dilaksanakan selama 10 tahun. Ia bertujuan membalikkan trend obesiti yang membimbangkan dalam kalangan kanak-kanak serta ibu bapa mereka, menurut kenyataan MCRI yang dikeluarkan pada Isnin.
Program itu akan memanfaatkan Generation Australia, sebuah platform penyelidikan berskala besar yang menggabungkan dua kajian kohort jangka panjang yang menjejaki kira-kira 60,000 kanak-kanak dan keluarga di negeri Victoria dan Australia Barat.
“Kesihatan jantung yang baik sejak kanak-kanak amat penting untuk mengurangkan risiko penyakit kronik sepanjang hayat seseorang,” kata Profesor MCRI, Melissa Wake, yang akan membantu menyelia Generation Australia.
Empat ujian utama dirancang bermula pada 2027, termasuk mengkaji sama ada waktu tidur lebih awal, rawatan penurunan berat badan ibu bapa, saringan tekanan darah di sekolah, serta aktiviti fizikal berfokuskan kekuatan dapat meningkatkan hasil kesihatan jangka panjang kanak-kanak.
“Kita tahu faktor risiko yang mendasari penyakit kardiometabolik seperti peningkatan berat badan tidak sihat, tekanan darah tinggi, tahap aktiviti fizikal rendah dan tidur yang tidak mencukupi sering bermula pada peringkat sekolah rendah,” kata Wake.
Inisiatif ini merupakan peluang penting untuk membalikkan peningkatan kadar obesiti serta penyakit kronik berkaitan termasuk penyakit kardiovaskular, diabetes dan penyakit buah pinggang, yang secara keseluruhannya menelan kos lebih A$23 bilion (kira-kira US$16.54 bilion) setahun dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan di Australia, katanya.
Program itu melibatkan universiti dan institusi penyelidikan terkemuka di beberapa negeri di Australia.
-- BERNAMA-XINHUA