COLOMBO: Sri Lanka mengumumkan pelaksanaan kerja empat hari seminggu sebagai langkah kecemasan bagi menjimatkan simpanan bahan api negara yang semakin terhad, susulan kebimbangan konflik di Asia Barat bakal berlarutan.
Pengumuman itu dibuat selepas Mesyuarat Khas Kerajaan yang dipengerusikan Presiden Anura Kumara Dissanayake, pada Isnin.
Menurut Pesuruhjaya-Jeneral Perkhidmatan Keperluan, Prabath Chandrakeerthi, semua jabatan kerajaan akan beroperasi hanya empat hari seminggu bermula Rabu, manakala langkah sama turut terpakai kepada sekolah dan universiti sehingga satu tempoh yang belum ditetapkan.
“Kami turut menggesa sektor swasta untuk mengikut langkah ini dan menjadikan setiap hari Rabu sebagai cuti,” katanya kepada media.
Dissanayake dilaporkan berkata, perkhidmatan penting seperti hospital, pelabuhan dan perkhidmatan kecemasan akan terus beroperasi seperti biasa.
Langkah drastik itu turut dikaitkan dengan perkembangan di Selat Hormuz - laluan perdagangan utama yang kini hampir ditutup susulan tindakan balas Iran terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel, yang memasuki minggu ketiga.
Sri Lanka yang mengimport kesemua bekalan minyak dan arang batu untuk penjanaan tenaga, kini mengambil pendekatan berjimat secara menyeluruh, termasuk menggantung semua acara rasmi kerajaan serta menggalakkan penjawat awam bekerja dari rumah.
Pengagihan bahan api secara berjadual bermula Ahad lalu, dengan had maksimum 15 liter petrol atau diesel bagi setiap kenderaan persendirian setiap minggu, manakala perkhidmatan pengangkutan awam dibenarkan sehingga 200 liter.
Menurut pihak berkuasa, dengan kadar penggunaan semasa, stok petrol dan diesel negara dijangka bertahan hampir enam minggu.
Namun sebarang gangguan pada bekalan baharu boleh menjejaskan operasi seluruh negara.
Sri Lanka kini memperoleh produk petroleum bertapis dari Singapura, Malaysia dan Korea Selatan, manakala minyak mentah untuk loji penapisan utamanya dibekalkan dari Asia Barat.
Kerajaan memberi amaran bahawa konflik berpanjangan di rantau itu boleh menggagalkan usaha pemulihan ekonomi negara, susulan krisis kewangan yang memuncak pada 2022 hingga menyebabkan Sri Lanka gagal membayar hutang luar sebanyak AS$46 bilion sebelum menerima pakej bantuan IMF bernilai AS$2.9 bilion.
Pakistan sebelum ini mengumumkan langkah penjimatan termasuk menutup sekolah, mengalihkan kelas universiti secara dalam talian serta mengarahkan pekerja pejabat bekerja dari rumah.
Filipina pula beralih kepada kerja empat hari seminggu sebagai usaha mengurangkan impak ekonomi akibat konflik di Asia Barat.
Presiden Ferdinand Marcos berkata negaranya “menjadi mangsa perang yang bukan pilihannya.”
Sementara itu, Laos berdepan kekurangan petrol apabila lebih 40 peratus stesen minyak ditutup minggu lalu, menyebabkan barisan panjang di beberapa lokasi.
Negara itu bergantung kepada Thailand bagi bekalan bahan api, namun Bangkok sebelum ini mengumumkan sekatan eksport sebelum memberikan jaminan bahawa penghantaran ke Vientiane akan diteruskan. - Agensi