Skip to main content

Dunia

Situasi di Beirut terkawal di sebalik serangan Israel, Aidilfitri disambut seperti biasa

Astro AWANI/Seth Akmal
Johan Arief berkata Aidilfitri tetap disambut seperti biasa di Beirut. - Gambar/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Situasi di Beirut, Lubnan masih terkawal di sebalik serangan Israel, namun orang ramai perlu berwaspada pada tahap tertinggi selaras dengan perkembangan serantau.

Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Malaysia di Beirut, Lubnan, Johan Arief Mohmad Jaafar berkata Aidilfitri juga tetap disambut seperti biasa.

“Aktiviti perayaan masih berlangsung namun dengan pendekatan yang lebih berhati-hati dan berhemah,” katanya ketika wawancara dalam talian bersama Astro AWANI hari ini.

Namun Johan Arief turut menyatakan terdapat keperluan mendesak agar bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada pelarian dalam negara susulan serangan Israel terhadap beberapa wilayah di Lubnan.

Menurutnya, keperluan tersebut melibatkan bantuan untuk golongan wanita, kanak-kanak dan warga emas.

“Mereka terpaksa berpindah akibat ketidaktentuan keselamatan dan kerosakan infrastruktur,” katanya.

Johan Arief turut menyatakan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut turut berperanan sebagai pemudah cara pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang ingin membantu mangsa pelarian.

Bantuan seperti makanan, bekalan ubat-ubatan, serta sokongan psikososial penting untuk mangsa konflik, ujarnya.

Terdahulu NGO Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) Malaysia tiba di Beirut pada 21 hingga 23 Februari untuk membantu mangsa pelarian Palestin yang juga waris peristiwa Nakbah di dua kem pelarian.

“Peranan kedutaan bukan sahaja pemudah cara tapi sebagai penghubung strategik bagi memastikan setiap inisiatif bantuan dari Malaysia dapat dilaksanakan secara teratur dan memenuhi keperluan tempatan,” katanya.

Minggu lalu, KHOM Malaysia turut melancarkan tabung dana bagi membantu pelarian Palestin yang terkesan akibat konflik Asia Barat yang berlaku sejak 28 Februari lalu.

Johan Arief turut mengesahkan NGO MERCY Malaysia dijangka akan berada di Beirut pada minggu ini untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan.

Menyentuh mengenai tanggungjawab selaku diplomat di wilayah konflik, Johan Arief berpendapat pengalaman terebut memberikan perspektif yang lebih luas untuk memahami keamanan, kestabilan dan solidariti kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

“Tanggungjawab kepada negara sentiasa menjadi keutamaan,” katanya lagi.

Must Watch Video