Skip to main content

Teknologi

Meta buang 8,000 pekerja dalam penstrukturan global

71734480134_Metabooth.jpg
Langkah itu diambil selari dengan peralihan strategik syarikat yang kini memberi tumpuan lebih besar kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI). -Gambar fail

SINGAPURA: Gergasi teknologi Meta mula memberhentikan sekitar 8,000 pekerja di seluruh dunia semalam dalam satu langkah penstrukturan semula global, yang menyaksikan pengurangan kira-kira 10 peratus tenaga kerjanya, lapor Amanz.

Langkah itu diambil selari dengan peralihan strategik syarikat yang kini memberi tumpuan lebih besar kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI).

Menurut laporan The Straits Times, kakitangan Meta di Singapura mula menerima e-mel pemberhentian kerja seawal jam 4 pagi, manakala pekerja di negara lain seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat menerima notis secara berperingkat.

Dalam masa sama, pekerja dilaporkan diarahkan bekerja dari rumah bagi memberi ruang kepada syarikat mengurus proses pemberhentian tersebut.

Sebelum ini, Meta telah melaksanakan fasa awal penstrukturan semula yang melibatkan penugasan semula kira-kira 7,000 kakitangan ke dalam pasukan baharu yang memberi fokus kepada inisiatif AI, termasuk pembangunan produk dan ejen pintar.

Tumpuan agresif terhadap AI turut menyaksikan sebahagian tugas sebelum ini diambil alih oleh teknologi berkenaan, sekali gus menjadi antara faktor yang mendorong keputusan pengurangan tenaga kerja.

Dalam perkembangan berkaitan, kakitangan di bahagian Reality Labs turut terkesan selepas pelaburan besar dalam pembangunan metamesta, peranti realiti maya dan permainan tidak lagi menjadi keutamaan utama syarikat.

Must Watch Video

Advertisement