Skip to main content

Malaysia

Sultan Selangor seru umat Islam, orang Melayu terus bersatu, elak perpecahan

Sumber: Selangor Royal Office
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya di Negeri Selangor. - Gambar Facebook Selangor Royal Office

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam dan orang Melayu di negara ini agar terus bersatu padu serta mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan bangsa dan menimbulkan keresahan rakyat.

Dalam perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2026, baginda beritah, Aidiladha mengajar erti pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah selain menjadi lambang kesatuan umat Islam tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan.

Titah baginda, perpaduan amat penting dalam memastikan negara kekal aman, stabil dan dihormati.

“Beta berharap orang Melayu dan umat Islam di negara ini akan terus bersatu padu, tidak kira daripada kalangan pemimpin politik hinggalah kepada rakyat jelata.

“Jika kita terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka kita yang akan rugi dan lemah,” titah baginda dalam perutusan yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah, pada Khamis.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda turut memerhatikan terlalu banyak pertelingkahan dan perselisihan berlaku dalam kalangan ahli politik sejak akhir-akhir ini sehingga boleh menimbulkan keresahan rakyat.

Titah baginda, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan dalam kalangan orang Melayu Islam membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan serta melemahkan kuasa dan kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri.

Pada masa sama, baginda menegaskan, perpaduan orang Melayu tidak harus disalah tafsir sebagai usaha untuk bermusuhan dengan kaum lain di negara ini.

“Sebaliknya, kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan menjadikan negara lebih aman, stabil dan rakyatnya saling hormat menghormati,” titah baginda lagi.

Dalam titah sama, Sultan Sharafuddin turut menyeru semua kaum, bangsa dan agama di negara ini agar saling menghormati sensitiviti antara satu sama lain serta hidup dalam suasana aman damai.

Sempena Aidiladha juga, baginda mendoakan seluruh jemaah haji Malaysia yang kini sedang berada di Tanah Suci agar dipermudahkan segala urusan ibadah, dikurniakan kesihatan yang baik dan kembali ke tanah air dengan selamat serta memperoleh haji yang mabrur.

Must Watch Video

Advertisement