TEHRAN: Iran mendakwa memiliki senjata moden yang belum pernah diuji di medan perang dan bersedia digunakan sekiranya berlaku konflik dengan Amerika Syarikat (AS), di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua pihak.
Menurut sumber ketenteraan Iran kepada agensi berita Rusia, RIA Novosti, Tehran telah membangunkan sistem persenjataan baharu secara domestik yang masih belum digunakan dalam sebarang operasi ketenteraan.
“Kami telah menghasilkan senjata moden yang belum digunakan di medan perang dan belum benar-benar diuji,” kata sumber tersebut.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa Iran berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi untuk menghadapi kemungkinan serangan AS, sambil menyatakan bahawa negara itu tidak berdepan sebarang kekurangan dari segi kelengkapan ketenteraan.
“Dari segi peralatan dan keupayaan pertahanan, kami tidak menghadapi kekurangan yang boleh menghalang kami mempertahankan negara,” katanya.
Sumber itu juga memberi bayangan bahawa Iran tidak lagi akan berpendirian berhati-hati jika konflik tercetus semula.
“Kali ini, kami tidak bercadang untuk bertindak secara berhemah,” tegasnya.
Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika hubungan antara Washington dan Tehran terus tegang, dengan ancaman tindakan ketenteraan dilihat semakin meningkat.
Penganalisis berkata kenyataan Iran itu mencerminkan strategi tegas negara tersebut dalam menghadapi tekanan luar, di samping memberi isyarat bahawa sebarang eskalasi konflik berpotensi membawa kepada penggunaan senjata baharu yang belum pernah disaksikan.