Skip to main content

Dunia

Singapura tidak akan berunding mengenai hak laluan Selat Hormuz - Vivian Balakrishnan

61629536978_VIVIAN.jpg
Kata Vivian Balakrishnan, Selat Hormuz bukan lesen yang perlu dimohon atau tol yang perlu dibayar, sebaliknya adalah hak kapal-kapal dari semua negara untuk melaluinya.

SINGAPURA: Singapura tidak akan terlibat dalam rundingan dengan Iran bagi laluan selamat kapal atau kadar tol di Selat Hormuz, selaras dengan prinsipnya untuk tidak memihak, kata Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan.

Beliau berkata republik itu berpandangan bahawa laluan melalui selat berkenaan merupakan hak bagi semua negara dan bukannya keistimewaan yang diberikan oleh negara-negara yang bersempadan dengannya.

“Ia bukan lesen yang perlu dimohon. Ia bukan tol yang perlu dibayar. Ia adalah hak kapal-kapal dari semua negara untuk melaluinya.

Hak ini termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), di mana Singapura merupakan salah satu daripada pihak yang menandatangani serta meratifikasinya,” katanya sebagai menjawab soalan mengenai kesan situasi Asia Barat terhadap Singapura di Parlimen, Selasa.

Memetik Artikel 44 UNCLOS, Balakrishnan berkata undang-undang menetapkan bahawa negara-negara yang bersempadan dengan selat tidak boleh menghalang laluan transit dan tidak boleh ada penggantungan terhadap laluan transit berkenaan.

“Pendirian Singapura mengenai penggunaan selat untuk pelayaran antarabangsa adalah kekal dan konsisten sejak sekian lama.

Selat Hormuz, sama seperti Selat Melaka dan Selat Singapura, adalah contoh selat yang digunakan untuk pelayaran antarabangsa,” kata beliau.

Sehubungan itu, Balakrishnan menegaskan bahawa Singapura turut mengambil pendirian bahawa hak laluan transit juga merupakan sebahagian daripada undang-undang antarabangsa lazim dan akan terus memantau situasi di sepanjang Selat Hormuz dengan teliti.

“Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura kekal berhubung rapat dengan pemilik kapal serta pengendali kapal yang mengibarkan bendera Singapura atau berdaftar di Singapura di Selat berkenaan, iaitu di Teluk Parsi.

Di peringkat antarabangsa dan serantau, agensi-agensi kami sedang melakukan libat urus dengan pihak berkepentingan untuk meneroka peluang berpotensi bagi memudahkan transit kapal yang selamat,” kata beliau.

-- BERNAMA

Must Watch Video