ISTANBUL: Serangan Israel di selatan Lubnan meragut 24 nyawa dalam tempoh 24 jam lepas, ketika sekurang-kurangnya 52 bandar dan kawasan menjadi sasaran serangan, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan pada Khamis.
Serangan paling dahsyat menyasarkan sebuah bangunan kediaman di bandar Zrariyeh, selatan Lubnan, mengorbankan 10 orang termasuk wanita dan kanak-kanak, lapor Anadolu Ajansi memetik agensi berita rasmi negara itu.
Seramai tujuh lagi terbunuh dalam satu serangan berasingan di Abbassiyeh, manakala tiga lagi maut dan lima cedera di Jibsheet.
Di Borj Qallawiyeh, empat anggota paramedik terbunuh dalam serangan yang turut memusnahkan rumah, kedai, sebuah masjid dan pusat pertahanan awam.
Serangan Israel turut melanda puluhan bandar dan kampung lain di selatan Lubnan termasuk Bint Jbeil, Khiam, Tyre Debba, Bazouriyeh, Kafra, Harouf, Tebnine dan Touline.
Di Beirut, pesawat perang Israel menyerang kawasan Shiyyah di pinggir selatan bandar itu buat kali kedua dalam tempoh beberapa jam.
Insiden berlaku ketika tentera Israel meneruskan serangan yang diperluas ke atas Lubnan sejak Rabu, mengorbankan lebih 303 orang dan mencederakan 1,150 yang lain, menurut Pertahanan Awam Lubnan.
Bedilan terus berlanjutan meskipun gencatan senjata selama dua minggu diumumkan pada Selasa oleh Amerika Syarikat (AS) dan Iran, yang diusahakan Pakistan sebagai sebahagian daripada usaha mencapai perjanjian lebih luas untuk menghentikan konflik yang dicetuskan Washington dan Tel Aviv terhadap Tehran pada 28 Feb.
Sementara Islamabad dan Tehran menyatakan bahawa gencatan senjata itu turut meliputi Lubnan, Washington dan Tel Aviv menafikannya.
-- BERNAMA-ANADOLU