ISLAMABAD: Pakistan dan Perancis menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap pencabulan gencatan senjata yang berterusan di Lubnan, selain menggesa agar perjanjian berkenaan dihormati sepenuhnya oleh semua pihak yang terlibat.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar dan Menteri Luar Perancis, Jean‑Noël Barrot dalam satu perbualan telefon pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Pakistan memaklumkan kedua-dua pemimpin berkenaan menekankan kepentingan pematuhan sepenuhnya terhadap gencatan senjata demi menjamin kestabilan di Asia Barat.
“Kedua-dua pemimpin melahirkan kebimbangan terhadap pencabulan gencatan senjata di Lubnan dan menegaskan keperluan pelaksanaan serta penghormatan sepenuhnya terhadap perjanjian berkenaan,” menurut kenyataan itu menerusi satu hantaran di platform X.
DPM/FM Senator Mohammad Ishaq Dar @MIshaqDar50 received a phone call today from Foreign Minister of France, Jean-Noël Barrot @jnbarrot.
FM Barrot congratulated Pakistan on its role in securing the initial ceasefire agreement and expressed support for Pakistan’s continued… pic.twitter.com/9Mt1SGhRXK— Ministry of Foreign Affairs - Pakistan (@ForeignOfficePk) April 10, 2026
Pendirian bersama tersebut dilihat signifikan susulan usaha diplomatik berterusan Pakistan dalam menyokong inisiatif meredakan ketegangan serantau, dengan Islamabad berpandangan perkembangan konflik turut memberi kesan kepada situasi di Lubnan.
Bagaimanapun, pandangan itu berbeza dengan pendirian Amerika Syarikat dan Israel yang menegaskan Lubnan tidak termasuk dalam skop mana-mana pengaturan gencatan senjata yang sedang dibincangkan.
Susulan perbezaan tafsiran berkenaan, Israel dilaporkan melancarkan serangan udara berskala besar ke atas beberapa lokasi di Lubnan, hanya beberapa jam selepas pengumuman gencatan senjata, sekali gus mencetuskan kebimbangan antarabangsa terhadap kelangsungan usaha perdamaian.
Serangan tersebut dilaporkan mengorbankan ratusan orang, menurut pihak berkuasa tempatan, dan mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan kestabilan serantau.
Dalam perkembangan sama, Barrot turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Pakistan dalam menyokong usaha diplomatik awal dan menyatakan sokongan Perancis terhadap pendekatan berterusan bagi mencapai keamanan yang berkekalan.