KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan urus niaga saham melibatkan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan serta seorang pengerusi syarikat pegangan.
Menurut sumber, siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM mendapati terdapat elemen penilaian harga saham yang tidak munasabah dan tidak setimpal, sekali gus berpotensi menyebabkan kerugian dana awam yang dianggarkan melebihi RM300 juta.
Sumber memaklumkan, SPRM turut menggeledah dua syarikat penilaian saham lain bagi mengesahkan nilai sebenar saham yang terlibat dalam transaksi berkenaan.
Siasatan awal mendapati urus niaga tersebut disyaki dirancang secara sistematik, termasuk kemungkinan wujud aliran keluar masuk wang ke akaun luar negara.
Setakat ini, seramai 10 saksi telah dirakam percakapan, manakala tujuh lagi dijangka dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, selain turut merangkumi kesalahan pecah amanah jenayah.
Beliau memaklumkan siasatan juga melibatkan elemen pengubahan wang haram bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian transaksi yang berkaitan dengan kes berkenaan.