Skip to main content

Dunia

Seorang maut lori tangki meletup dekat Terusan Panama

 Open Source Intel
Kejadian yang berlaku jam 4.12 petang waktu tempatan itu tercetus di kompleks pembekalan bahan api La Boca, berhampiran laluan masuk Pasifik ke Terusan Panama. -Foto X

PANAMA CITY: Seorang individu maut manakala beberapa lagi cedera selepas sebuah lori tangki bawa bahan api meletup di bawah Bridge of the Americas, di sini, pada Isnin.

Kejadian yang berlaku jam 4.12 petang waktu tempatan itu tercetus di kompleks pembekalan bahan api La Boca, berhampiran laluan masuk Pasifik ke Terusan Panama.

Pihak berkuasa memaklumkan mangsa yang maut dipercayai pekerja di kompleks berkenaan, manakala dua anggota bomba mengalami kecederaan ringan ketika operasi pemadaman.

Beberapa individu awam turut dilaporkan menerima rawatan akibat lecur tahap kedua.

Rakaman CCTV menunjukkan bebola api besar dan kepulan asap hitam tebal menyelubungi jambatan sepanjang sekitar 1.6 kilometer, menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa meninggalkan kenderaan untuk menyelamatkan diri.

Susulan insiden, Bridge of the Americas ditutup sementara bagi membolehkan pemeriksaan teknikal dilaksanakan bagi menilai integriti struktur susulan pendedahan kepada haba melampau.

Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Terusan Panama dalam kenyataan memaklumkan letupan tersebut tidak menjejaskan operasi harian atau trafik kapal di laluan air antara Atlantik dan Pasifik.

Sementara itu, Presiden Panama, José Raúl Mulino, melalui hantaran di platform X menggesa sektor awam dan swasta mengambil langkah berwaspada susulan jangkaan kesesakan lalu lintas luar biasa akibat penutupan jambatan berkenaan.

 

 

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya beberapa jam kemudian, dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Must Watch Video