MANILA: Senator Filipina Jinggoy Estrada pada Isnin mengumumkan beliau menyerah diri kepada polis selepas mahkamah antirasuah Sandiganbayan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya berhubung pertuduhan plunder, iaitu kesalahan rasuah berskala besar, lapor Xinhua.
Estrada menyerah diri kepada Kumpulan Siasatan dan Pengesanan Jenayah Polis Kebangsaan Filipina dan berkata dalam sidang media lebih awal pada Isnin bahawa beliau tidak akan memohon ditempatkan dalam tahanan Senat, sambil menegaskan beliau bersedia mempertahankan diri di mahkamah.
“Saya tidak akan berlindung di sebalik institusi untuk mengelakkan proses undang-undang,” katanya.
Minggu lalu, Pejabat Ombudsman Filipina memfailkan pertuduhan terhadap beliau di Sandiganbayan dengan mendakwa Estrada menerima lebih 573 juta peso (US$9.30 juta) sebagai sogokan haram menerusi manipulasi peruntukan dana projek kawalan banjir 2025.
Estrada berulang kali menafikan dakwaan terhadapnya.
Terdahulu pada Isnin, Sandiganbayan mengeluarkan waran tangkap terhadap Estrada bagi kes plunder dan rasuah yang tidak membenarkan ikat jamin.
Menurut laporan media tempatan, plunder merupakan antara kesalahan rasuah paling serius di bawah undang-undang Filipina dan membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup.
Di bawah undang-undang negara itu, ikat jamin hanya boleh diberikan jika mahkamah mendapati bukti kesalahan tidak kukuh.
Dalam sidang media pada Isnin, Estrada berkata beliau beberapa kali ditawarkan untuk meninggalkan blok majoriti bebas sebagai pertukaran bagi menggugurkan kes berkaitan skandal kawalan banjir itu.
Namun, beliau menegaskan akan kekal bersama blok majoriti.
Pada separuh kedua tahun lalu, skandal rasuah berskala besar membabitkan projek kawalan banjir tercetus, sekali gus mencetuskan bantahan antirasuah besar-besaran secara berterusan di seluruh negara.
-- BERNAMA-XINHUA