TOKYO: Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi pada Isnin menggesa laluan bebas dan selamat bagi kapal di Selat Hormuz yang kini ditutup secara efektif, dalam perbincangan telefon dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian, lapor Agensi Berita Kyodo.
Di tengah-tengah ketidaktentuan mengenai perkembangan rundingan damai berkaitan serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran, perdana menteri itu memberitahu wartawan bahawa beliau turut menyatakan “harapan yang kuat” supaya pihak Iran “menunjukkan fleksibiliti semaksimum mungkin dan perjanjian dapat dicapai secepat mungkin.”
Takaichi dan Pezeshkian mengadakan perbincangan telefon ketiga sejak konflik itu bermula pada akhir Februari. Di tengah-tengah krisis berterusan di Asia Barat, perdana menteri itu berkata beliau dan presiden Iran bersetuju untuk terus mengekalkan komunikasi rapat.
Jepun yang kekurangan sumber asli sangat bergantung kepada Asia Barat bagi import komoditi termasuk minyak mentah, yang sebahagian besarnya melalui selat itu, iaitu laluan strategik utama tenaga dunia.
Perbincangan itu berlangsung ketika ketidaktentuan terus menyelubungi rundingan damai antara AS dan Iran.
Menurut laporan media di kedua-dua negara, kedua-dua pihak sedang mendapatkan pindaan terhadap memorandum persefahaman untuk melanjutkan gencatan senjata selama 60 hari meskipun sumber kerajaan AS menyatakan perunding sebahagian besarnya telah mencapai persetujuan mengenainya pada Khamis lalu.
-- BERNAMA-KYODO