RAMALLAH/ISTANBUL: Kepimpinan Palestin sedang mempertimbangkan “semua pilihan” termasuk merujuk kepada mahkamah antarabangsa, bagi menghalang pengilhakan tanah Palestin oleh Israel, kata seorang pegawai kanan pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
“Semua pilihan adalah terbuka, termasuk merujuk kepada mahkamah antarabangsa, bagi melindungi tanah Palestin daripada rampasan dan pengilhakan oleh Israel,” kata Timbalan Menteri Luar Omar Awadallah kepada Anadolu.
Beliau berkata kepimpinan Palestin sedang bertindak di “peringkat Arab, Islam dan antarabangsa” untuk berhadapan dengan keputusan Israel bagi mendaftarkan tanah Tebing Barat sebagai “harta negara.”
“Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki,” kata Awadallah. “Satu-satunya kedaulatan adalah milik Negara Palestin.”
Kerajaan Israel pada Ahad meluluskan cadangan yang membenarkan rampasan tanah Palestin di Tebing Barat dengan mendaftarkannya sebagai “harta negara” menandakan langkah pertama seumpamanya sejak Israel menduduki wilayah itu pada 1967.
Menurut Channel 7, langkah itu termasuk memulakan prosedur pendaftaran tanah yang sebelum ini dibekukan, membatalkan undang-undang era Jordan yang melarang penjualan tanah, serta mendedahkan rekod tanah yang dirahsiakan selama berdekad-dekad.
Rakyat Palestin melihat langkah tersebut sebagai permulaan kepada pengilhakan rasmi Tebing Barat, tindakan yang menurut mereka akan menjejaskan kerangka penyelesaian dua negara yang disokong oleh PBB.
Dalam satu ketetapan bersejarah pada Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin sebagai tidak sah dan menuntut pemindahan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
-- BERNAMA-ANADOLU