JAKARTA: Gunung Semeru di wilayah Jawa Timur, Indonesia meletus sembilan kali awal Sabtu, dengan abu mencecah setinggi 1,000 meter.
Pegawai Pos Pemerhatian Gunung Berapi Semeru, Liswanto berkata gunung berapi itu kali pertama meletus pada 12.07 tengah malam waktu tempatan, manakala letusan terbaharu berlaku pada 6.22 pagi.
Kedua-dua letusan itu menghasilkan abu setinggi 700 meter di atas puncak.
Letusan paling kuat direkodkan pada 5.19 pagi, iaitu letusan kelapan, dengan abu mencapai kira-kira 1,000 meter di atas puncak, kata beliau seperti dipetik agensi berita ANTARA.
Gunung Semeru, yang berketinggian 3,676 meter dari aras laut ialah gunung berapi tertinggi di wilayah itu dan kekal pada Status Tahap III (Amaran).
-- BERNAMA