Skip to main content

Dunia

Sektor awam Singapura terajui pelaksanaan langkah penjimatan tenaga

81758587275_singapore.jpg
Kerajaan Singapura sedang menerajui usaha pemuliharaan tenaga nasional ini dan akan terus memberikan sokongan untuk membantu menjimatkan tenaga. - Gambar fail

SINGAPURA: Perkhidmatan awam Singapura telah diarahkan untuk melaksanakan langkah-langkah penjimatan tenaga bagi mengurangkan penggunaan elektrik di seluruh kemudahan kerajaan, sambil mengimbangi keperluan operasi di tengah-tengah konflik Asia Barat.

Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) serta Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan bersama pada Rabu berkata, kerajaan sedang menerajui usaha pemuliharaan tenaga nasional ini dan akan terus memberikan sokongan untuk membantu menjimatkan tenaga.

Langkah-langkah itu merangkumi tindakan segera seperti pelaksanaan suhu “Go 25” untuk penyaman udara, pengurusan aktif waktu operasi bagi penyaman udara, lampu dan lif, serta mencabut palam atau mematikan peralatan dan perkakas tidak penting apabila tidak digunakan.

“Agensi-agensi juga akan mempercepatkan pemasangan sistem cekap tenaga seperti lampu LED dan penderia pintar, selain menggantikan peralatan elektrik dengan alternatif yang lebih menjimatkan tenaga, seperti peralatan yang mempunyai penarafan tanda tertinggi.

Semua pegawai awam juga dinasihatkan untuk mengamalkan tabiat penjimatan tenaga seperti menutup lampu, penyaman udara, monitor dan peralatan elektrik lain apabila tidak digunakan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video