ISLAMABAD: Sekatan perintah berkurung di utara Pakistan diteruskan pada Selasa susulan protes anti-Amerika Syarikat (AS) yang meragut nyawa dan tercetus akibat pembunuhan Pemimpin Agung Iran Ali Khamenei, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pegawai tempatan berkata perintah berkurung selama tiga hari dikenakan dan tentera dikerahkan pada Isnin selepas pertempuran ganas tercetus antara penunjuk perasaan dan anggota keselamatan di kawasan Skardu, Shigar dan Gilgit di wilayah Gilgit-Baltistan.
“Keadaan kini normal dan perintah berkurung masih berkuat kuasa,” kata jurucakap kerajaan wilayah, Shabbir Mir, kepada Anadolu.
Sekurang-kurangnya 25 orang, termasuk seorang pegawai keselamatan, terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan di seluruh negara pada Ahad, sekali gus mendorong pihak berkuasa memperketat kawalan keselamatan di sekitar Kedutaan AS dan konsulat.
Menurut Mir, sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk seorang pegawai keselamatan, terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam pertembungan di Gilgit-Baltistan.
Di Karachi, hab komersial negara itu, 10 orang terbunuh dan lebih 60 lagi cedera dalam protes di luar Konsulat AS.
Dua lagi penunjuk perasaan terbunuh di ibu negara, Islamabad, ketika dalam perjalanan menuju Kedutaan AS.
Kerajaan wilayah Sindh telah menggantung beberapa pegawai polis berhubung kelompongan keselamatan di Konsulat AS di Karachi susulan protes besar-besaran yang menyerbu misi diplomatik itu.
Secara berasingan, Kedutaan AS di Pakistan memaklumkan ia membatalkan semua temu janji visa sehingga Jumaat, 6 Mac, termasuk di konsulat di Lahore dan Karachi, “susulan situasi keselamatan semasa.”
Pada Isnin, Kedutaan AS berkata ia “menggantung sementara” operasi di Konsulat Jeneralnya di Peshawar di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa.
Kedutaan itu turut mengumumkan sekatan pergerakan bagi semua kakitangan kerajaan AS di seluruh negara.
Ketegangan serantau memuncak pada Sabtu susulan kempen ketenteraan bersama AS-Israel terhadap Iran. Serangan itu mengorbankan beberapa pegawai kanan Iran, termasuk Khamenei.
Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan lokasi berkaitan AS di negara-negara Teluk, menyebabkan beberapa kematian. Enam anggota perkhidmatan AS terbunuh manakala ramai lagi cedera.
Bulan Sabit Merah Iran memaklumkan jumlah korban sejak Sabtu akibat serangan udara AS dan Israel meningkat kepada sekurang-kurangnya 555 orang.
-- BERNAMA-ANADOLU