Skip to main content

Dunia

Rusia, Ukraine setuju gencatan senjata sempena Paskah Ortodoks

Orthodox faithful attend a liturgy on Holy Thursday during Orthodox Easter Week services at Cathedral of the Apostle Barnabas in Nicosia, Cyprus, April 9, 2026. REUTERS/Yiannis Kourtoglou
Penganut Kristian Ortodoks menghadiri upacara liturgi pada Khamis Suci sempena minggu perayaan Paskah Ortodoks di Katedral Rasul Barnabas. - Foto REUTERS

MOSCOW: Rusia dan Ukraine bersetuju melaksanakan gencatan senjata sempena perayaan Paskah Ortodoks hujung minggu ini, dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, mengumumkan perintah menghentikan tembakan kepada tentera Rusia di semua medan pertempuran.

Putin berkata gencatan senjata akan berkuat kuasa mulai jam 4 petang waktu tempatan pada Sabtu, 11 April, sehingga Hari Paskah Ortodoks pada Ahad.

Beliau menambah bahawa Rusia menjangkakan Ukraine akan “mengikut contoh” yang ditunjukkan Moscow, sambil mengarahkan tenteranya bersiap sedia menghadapi sebarang “provokasi musuh” atau tindakan agresif.

Pengumuman tersebut dibuat selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, berulang kali menyeru gencatan senjata sebelum ini, namun rayuan itu tidak diberi perhatian oleh Kremlin.

Reaksi awal dari Kyiv menunjukkan kesediaan yang berhati-hati.

Dalam satu hantaran di platform X, Zelenskyy berkata Ukraine bersedia mengambil “langkah-langkah simetri” sekiranya gencatan senjata itu benar-benar dilaksanakan.

“Rakyat memerlukan perayaan Paskah yang bebas daripada ancaman dan langkah sebenar ke arah keamanan,” katanya, sambil menambah Rusia juga mempunyai peluang untuk tidak meneruskan serangan selepas Paskah.

Terdahulu minggu ini, Zelenskyy mendedahkan bahawa beliau meminta Amerika Syarikat (AS) menyalurkan cadangan gencatan senjata sempena cuti kepada Moscow sebagai langkah awal membina keyakinan.

Sebarang jeda pertempuran dijangka memberi kelegaan kepada anggota tentera di sepanjang barisan hadapan di timur Ukraine, yang sering menjadi sasaran serangan dron.

Penduduk awam di seluruh negara juga berdepan siren amaran serangan udara hampir setiap hari, dengan peluru berpandu dan serangan dron Rusia masih mengorbankan orang awam.

Baru-baru ini, beberapa individu terbunuh apabila sebuah dron menyerang sebuah bas di Nikopol, tenggara Ukraine, manakala seorang wanita maut di Zhytomyr selepas peluru berpandu jatuh berhampiran kediamannya.

Siren amaran turut dilaporkan berbunyi di Kyiv sejurus selepas gencatan senjata hujung minggu itu diumumkan.

Dalam pada itu, Ukraine juga memperhebat serangan dron ke atas wilayah Rusia, khususnya menyasarkan infrastruktur tenaga.

Moscow mendakwa beberapa kawasan perumahan turut terjejas.

Sekiranya gencatan senjata ini berkuat kuasa, ramai rakyat Ukraine kekal ragu-ragu terhadap kebolehannya bertahan.

Pengalaman lalu menunjukkan beberapa gencatan senjata diumumkan Rusia tidak berpanjangan, termasuk dakwaan “gencatan senjata tenaga” awal tahun ini yang hanya bertahan singkat.

Kyiv menegaskan bahawa apa yang benar-benar diperlukan ialah gencatan senjata penuh dan stabil sebagai langkah pertama ke arah menamatkan pencerobohan Rusia.

Namun Moscow mahu perjanjian damai dimuktamadkan terlebih dahulu, satu pendirian yang menurut Ukraine menunjukkan Rusia tidak serius untuk menghentikan pertempuran.

Walaupun beberapa pusingan rundingan pernah diadakan dengan AS sebagai orang tengah, proses itu kini terhenti apabila Washington mengalihkan tumpuan kepada krisis di Asia Barat.

 

Must Watch Video