KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi pelaksanaan Op Hazard 3.0 berjaya melumpuhkan rangkaian sindiket pemprosesan sisa elektronik (e-waste) haram dengan nilai rampasan dan sitaan keseluruhan dianggarkan mencecah RM582 juta.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail berkata, operasi bersepadu berskala besar itu bukan sahaja mencatatkan kejayaan dari segi tangkapan, malah memberi tekanan hebat kepada pemain industri haram yang dikesan mengeksploitasi kelompongan perundangan sebelum ini.
Menurut beliau, setakat ini sebanyak 110 serbuan telah dilaksanakan di seluruh negara dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 42 premis yang diserbu berstatus kilang haram yang menjalankan aktiviti pemprosesan sisa e-waste secara haram.
"Secara keseluruhannya, sebanyak 223 kertas siasatan telah dibuka. Seramai 868 individu telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, 515 individu telah ditangkap atas pelbagai kesalahan melibatkan warga tempatan serta pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara 16 hingga 70 tahun," katanya dalam satu sidang media khas di Bukit Aman pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan, tindakan kali ini lebih menyeluruh dengan penglibatan unit pencegahan pengubahan wang haram bagi memastikan rantaian kewangan sindiket diputuskan sepenuhnya.
Menurut beliau, ini termasuk dua kertas siasatan dibuka oleh pihak AMLA PDRM melibatkan pembekuan tujuh akaun individu dan syarikat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 bernilai RM670,000.
Dalam masa sama, operasi ini turut menyaksikan pengeluaran 74 kompaun oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bernilai RM110,700.
Beliau juga menyifatkan kejayaan Op Hazard 3.0 sebagai manifestasi kerjasama erat antara pelbagai agensi penguatkuasaan yang berkongsi maklumat dan mengekalkan kerahsiaan operasi pada tahap tertinggi.
"Pelaksanaan operasi ini telah memberi impak yang signifikan dalam memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap kegiatan e-waste haram. Ia sekali gus mencerminkan peningkatan integriti dalam kalangan agensi penguatkuasaan kita," tambah beliau.
Kesalahan dikesan mengikut pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Sekendhend Barang Lusuh 1946, serta Akta Kawalan Bekalan 1961.