IPOH: Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya mematahkan aktiviti penyelewengan barang kawalan, dengan merampas 5,070 liter diesel di sebuah premis perniagaan kayu dan perkakasan di Kampung Raja Hitam, Ayer Tawar, semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan kira-kira jam 12.30 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa KPDN Cawangan Manjung bersama Pasukan Polis Marin.
Menurutnya, hasil risikan mendapati premis tersebut dijadikan lokasi transit pengumpulan diesel secara tidak sah.
“Semasa serbuan, seorang lelaki tempatan dikesan sedang memindahkan cecair disyaki minyak diesel dari sebuah lori tiga tan ke dalam tangki IBC.
“Hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut telah diubah suai dengan pemasangan tangki fiber tambahan di bahagian belakang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, terdapat lapan unit invois belian menunjukkan suspek melakukan pembelian berulang di stesen minyak yang sama di Sitiawan bagi mengumpul stok dalam kuantiti besar, sebelum dijual semula kepada pasaran industri.
Sehubungan dengan itu, katanya, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita cecair disyaki minyak diesel sebanyak 5,070 liter, sebuah lori tiga tan, satu tangki skid, dua tangki IBC, dua unit pam elektrik, satu tangki fiber dan empat unit hos.
Menurut Kamalludin, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM56,371.40.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan–Peraturan Kawalan Bekalan 1974.