Skip to main content

Malaysia

70 peratus produk kopi, biskut terlibat isu berus babi berjaya ditarik dari pasaran

berus bulu babi
Dua syarikat berkenaan ditarik sijil halal selepas dipercayai menggunakan berus diperbuat daripada bulu babi dalam operasi pembersihan peralatan mereka. - Foto JAIM

MELAKA: Kira-kira 70 peratus produk kopi dan biskut yang terlibat dalam kontroversi penggunaan berus bulu babi dan seterusnya ditarik sijil halal, telah berjaya dikeluarkan daripada pasaran di seluruh negara setakat awal April ini.

Perkembangan itu disahkan oleh Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), membabitkan dua syarikat iaitu Heng Loong Coffee Sdn Bhd dan Tian Hup Seng Biscuit Factory Sdn Bhd.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi JAIM, baki proses penarikan semula produk berkenaan di peringkat kebangsaan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

JAIM memaklumkan, sehingga 8 April lalu, pemantauan telah dilaksanakan di 33 pasar raya sekitar Melaka dan hasil pemeriksaan mendapati tiada lagi produk terlibat dijual di premis berkenaan.

“Pemantauan akan diteruskan secara berkala bagi memastikan arahan penarikan balik produk dipatuhi sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, JAIM menegaskan bahawa tindakan menarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia dibuat bagi memastikan syarikat terlibat mengambil langkah sewajarnya, selain melindungi kepentingan dan kepercayaan pengguna Islam.

Orang ramai turut digesa supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa agama sekiranya masih menemui produk tersebut di pasaran, khususnya di luar negeri Melaka.

Pada 1 April lalu, media melaporkan dua syarikat berkenaan ditarik sijil halal selepas dipercayai menggunakan berus diperbuat daripada bulu babi dalam operasi pembersihan peralatan mereka.

Analisis makmal yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Pusat Analisis Halal Malaysia mengesahkan berus berkenaan mempunyai ciri fizikal bulu babi, sekali gus melanggar piawaian halal yang ditetapkan.

Susulan pengesahan tersebut, pihak berkuasa mengarahkan penggunaan logo halal dihentikan serta semua produk terlibat ditarik balik dari pasaran.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Halal JAIM.
 

Must Watch Video