Skip to main content

Dunia

Rusia suarakan kebimbangan terhadap rancangan Perancis, UK perluas senjata nuklear

61719074588_MariaZakharova.jpg
Maria Zakharova berkata dalam taklimat media bahawa London dan Paris berhasrat memperluas senjata nuklear mereka di luar kekangan antarabangsa.

MOSCOW: Rusia pada Rabu menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Perancis dan United Kingdom untuk memperluas senjata nuklear mereka, sambil memberi amaran mengenai implikasinya terhadap keselamatan negara itu, lapor Agensi Berita Xinhua.

Jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova berkata dalam taklimat media bahawa London dan Paris berhasrat memperluas senjata nuklear mereka di luar kekangan antarabangsa.

Zakharova berkata keputusan itu adalah kesinambungan dasar lama kedua-dua negara yang mengelak daripada menyertai sebarang perjanjian kawalan senjata nuklear.

Beliau berkata peluasan keupayaan nuklear Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memerlukan perhatian lebih serta “pertimbangan yang paling teliti” dalam pembangunan dan perancangan ketenteraan Rusia.

Jurucakap itu turut berkata Rusia semakin yakin yang sebarang perjanjian kawalan senjata nuklear pada masa depan yang melibatkan Moscow perlu mengambil kira keseluruhan keupayaan nuklear NATO.

Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Isnin mengumumkan yang beliau mengarahkan peningkatan jumlah kepala peledak nuklear Perancis bagi memperkukuh senjata negara itu.

Presiden itu berkata beliau bersedia untuk memasukkan “dimensi Eropah” dalam konsep Perancis mengenai “pencegahan nuklear lanjutan”.

Negara Eropah termasuk United Kingdom turut menyatakan minat terhadap konsep itu, katanya, sambil menyatakan bahawa Paris, London dan Berlin akan bekerjasama dalam projek melibatkan peluru berpandu jarak sangat jauh sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan pertahanan Eropah.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video