WASHINGTON: Pegawai Lubnan dan Israel akan mengadakan satu lagi pusingan rundingan di Washington ketika gencatan senjata yang dilanjutkan menghampiri tarikh tamat pada 17 Mei, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik seorang pegawai Jabatan Negara.
“Rundingan akan diadakan pada Khamis-Jumaat depan,” kata pegawai itu kepada Anadolu pada Rabu, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai peserta atau agenda pertemuan.
Sumber Lubnan sebelum ini memberitahu Anadolu bahawa pusingan baharu perbincangan itu akan berlangsung di ibu pejabat Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) di Washington.
Kedua-dua negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi itu sebelum ini mengadakan dua pusingan rundingan di Washington pada 14 April dan 23 April, ketika AS berusaha memajukan perbincangan diplomatik antara kedua-dua pihak.
Pertemuan itu dijadual berlangsung ketika Israel terus melancarkan serangan di Lubnan, walaupun gencatan senjata yang ditaja AS diumumkan pada 17 April dan dilanjutkan hingga 17 Mei.
Sejak 2 Mac, serangan Israel ke atas Lubnan mengorbankan sekurang-kurangnya 2,715 orang, mencederakan 8,353 lagi dan menyebabkan lebih 1.6 juta penduduk hilang tempat tinggal, menurut angka rasmi terkini.
-- BERNAMA-ANADOLU