Skip to main content

Dunia

Poland sedia terima lebih ramai tentera AS perkukuh sayap timur NATO

FILE PHOTO: Polish Deputy Prime Minister and Defence Minister Wladyslaw Kosiniak-Kamysz speaks during a press conference in Krakow, Poland, February 20, 2026. REUTERS/Kuba Stezycki/File Photo
Władyslaw Kosiniak-Kamysz berkata, Poland bersedia menerima tambahan anggota tentera Amerika bagi memperkukuh sayap timur NATO dan memberikan perlindungan yang lebih baik kepada Eropah. - Foto REUTERS

ISTANBUL: Poland bersedia menerima tambahan tentera Amerika Syarikat (AS) bagi memperkukuh sayap timur NATO dan mengukuhkan keselamatan Eropah, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Poland Władyslaw Kosiniak-Kamysz pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi.

“Perikatan Poland-AS adalah asas keselamatan kami,” kata Kosiniak-Kamysz menerusi platform media sosial X.

“Poland bersedia menerima tambahan anggota tentera AS bagi memperkukuh sayap timur NATO dan memberikan perlindungan yang lebih baik kepada Eropah,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth mengumumkan rancangan menarik keluar kira-kira 5,000 anggota tentera dari Jerman, dengan Presiden AS Donald Trump memberi bayangan kemungkinan pengurangan lanjut.

Jerman kini menempatkan kira-kira 35,000 hingga 37,000 anggota AS, sekali gus menjadi hab utama operasi AS di Eropah.

Poland sejak beberapa tahun lalu berusaha mendapatkan kehadiran ketenteraan AS yang lebih kukuh dan kekal, yang dilihat sebagai faktor pencegahan penting terhadap Rusia susulan pencerobohan besar-besaran Moscow ke atas Ukraine pada 2022.

Warsaw meningkatkan perbelanjaan pertahanan secara ketara dan memperluas kerjasama dengan Washington termasuk menempatkan pasukan tentera AS secara bergilir, hab logistik dan sistem pertahanan peluru berpandu.

Prospek pengurangan tentera AS itu mencetuskan kebimbangan di beberapa ibu negara Eropah mengenai komitmen jangka panjang Washington terhadap NATO.

Perdana Menteri Poland Donald Tusk memberi amaran bahawa ancaman terbesar terhadap perikatan itu bukan datang dari luar, sebaliknya perpecahan dalaman.

“Perpecahan berterusan dalam perikatan kita” mesti dihentikan, kata Tusk baru-baru ini sambil menggesa penyelarasan trans-Atlantik yang lebih rapat.

Jurucakap NATO berkata perikatan itu sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa AS bagi menjelaskan skop dan implikasi rancangan pengurangan tentera berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video