BUDAPEST: Perdana Menteri baharu Hungary, Peter Magyar, mengangkat sumpah jawatan selepas membawa parti Tisza meraih kemenangan besar dalam pilihan raya, sekali gus menamatkan 16 tahun pemerintahan Viktor Orban.
Dalam ucapannya di parlimen, Magyar menegaskan beliau akan berkhidmat kepada rakyat, bukan memerintah.
“Saya tidak akan memerintah Hungary, saya akan berkhidmat untuk negara,” katanya.
Parti Tisza kini menguasai 141 daripada 199 kerusi parlimen, peningkatan mendadak daripada sifar selepas ditubuhkan hanya dua tahun lalu.
Sebaliknya, parti Fidesz pimpinan Orbán merosot kepada 52 kerusi, dengan masa depan politiknya dilihat tidak menentu.
Magyar turut berikrar melaksanakan perubahan sistem dan menangani isu rasuah yang didakwa berlaku di bawah kerajaan terdahulu.
Kerajaan baharu berdepan cabaran besar termasuk kedudukan ekonomi yang lemah serta usaha mendapatkan semula dana €17 bilion yang dibekukan oleh Kesatuan Eropah (EU).
Walaupun menegaskan tiada tindakan balas dendam akan diambil terhadap kerajaan lama, menteri baharu berkata individu yang bersalah dalam jenayah kewangan akan tetap disiasat dan diambil tindakan.
Di luar parlimen, puluhan ribu rakyat dijangka menyertai perhimpunan meraikan kemenangan tersebut, yang dilihat sebagai titik perubahan politik terbesar Hungary dalam lebih satu dekad.