BEIRUT: Sekurang-kurangnya 39 orang terbunuh dalam siri serangan udara Israel terbaru di Lubnan, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.
Salah satu serangan di bandar Saksakiyeh di selatan Lubnan mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh individu, termasuk seorang kanak-kanak, manakala 15 lagi cedera.
Tentera Israel (IDF) memaklumkan serangan itu menyasarkan anggota Hezbollah, namun mengakui terdapat laporan mengenai orang awam yang turut terjejas.
Ketegangan antara Israel dan Hezbollah berterusan walaupun gencatan senjata diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada 16 April lalu.
Sejak itu, kedua-dua pihak masih saling berbalas serangan.
Menurut laporan agensi berita kebangsaan Lubnan (NNA), beberapa kawasan di selatan negara itu menjadi sasaran, termasuk Saksakiyeh.
IDF mendakwa serangan tersebut menyasarkan “pejuang Hezbollah” yang beroperasi dari sebuah struktur ketenteraan, sambil menegaskan langkah telah diambil untuk mengurangkan risiko terhadap orang awam.
Dalam satu lagi insiden di Nabatieh, serangan dron Israel menyasarkan sebuah motosikal yang dinaiki seorang lelaki warga Syria dan anak perempuannya berusia 12 tahun.
Kementerian Kesihatan berkata, selepas terselamat daripada serangan pertama, kedua-duanya diserang semula, mengakibatkan si bapa terbunuh manakala anaknya cedera parah dan kini sedang menerima rawatan.
Sementara itu, Hezbollah dilaporkan melancarkan dron ke arah utara Israel sebagai tindak balas, mencederakan tiga anggota tentera Israel.
Dalam tempoh seminggu lalu, lebih 120 orang terbunuh di seluruh Lubnan akibat serangan Israel, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Sejak awal Mac, jumlah korban keseluruhan mencecah 2,795 orang.
Tentera Israel menyatakan operasi di kawasan sempadan bertujuan mewujudkan zon keselamatan bebas Hezbollah bagi melindungi komuniti di utara Israel.
Namun, kumpulan hak asasi manusia mendakwa kemusnahan di beberapa kampung menyerupai situasi di Gaza dan berpotensi melanggar undang-undang perang.
Konflik antara kedua-dua pihak terus memuncak walaupun usaha gencatan senjata dilakukan, dengan kedua-duanya saling melancarkan serangan udara, roket dan dron merentasi sempadan.