SINGAPURA: Tujuh pendaki warga Singapura yang dievakuasi dari Gunung Dukono dijadual pulang ke negara itu pada Ahad (10 Mei), menurut Kementerian Luar Singapura (MFA).
Dalam satu kenyataan, MFA berkata pegawai dari Kedutaan Singapura di Jakarta kini berada di Gunung Dukono, Halmahera Utara, bagi bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua rakyat Singapura yang masih hilang.
Pada masa sama, mereka turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk memudahkan kepulangan kumpulan yang terjejas ke Singapura.
“MFA merakamkan penghargaan mendalam terhadap usaha berterusan pihak berkuasa tempatan di Halmahera Utara, ketika operasi SAR diteruskan dalam keadaan yang amat mencabar,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Gunung Dukono yang terletak di bahagian utara Pulau Halmahera di wilayah Maluku Utara meletus pada pagi Jumaat.
Tiga individu termasuk dua rakyat Singapura dilaporkan hilang ketika letusan berlaku, manakala 17 pendaki terdiri daripada tujuh rakyat Singapura dan 10 warga Indonesia berjaya dievakuasi.
-- BERNAMA