SIDON: Penduduk di selatan Lubnan terus berdepan kemusnahan akibat serangan berterusan tentera Israel, dengan saksi mendakwa kebanyakan mangsa merupakan orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.
Di kawasan Saksakiyeh berhampiran Sidon, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan 17 lagi cedera dalam serangan terbaru, menurut laporan agensi berita Reuters.
Seorang penduduk tempatan, Hasan Omar, berkata mangsa terdiri daripada keluarga yang melarikan diri dari kawasan konflik lain untuk mencari perlindungan.
“Kanak-kanak, mereka menyasarkan kanak-kanak dan orang awam. Mereka melarikan diri dari Nabatieh dan kemudian diserang di sini; semuanya kanak-kanak dan wanita,” katanya kepada Reuters.
Beliau turut mempersoalkan tujuan operasi ketenteraan tersebut.
“Siapa sebenarnya sasaran tentera Israel ini? Saya tidak faham, tiada siapa yang faham,” katanya.
Sementara itu, seorang petugas penyelamat di Tyre, Mohammed Dahaineh, menggambarkan keadaan cemas ketika penduduk diarahkan berpindah sebelum serangan berlaku.
Menurutnya, pihaknya segera memberi amaran kepada penduduk selepas tentera Israel mengeluarkan notis ancaman.
“Kami terus datang dan meminta orang ramai berpindah kerana kami tidak tahu rumah mana yang akan diserang,” katanya kepada Reuters.
Beliau berkata kebanyakan penduduk berjaya meninggalkan kawasan itu, namun ada beberapa keluarga yang memilih untuk kekal di rumah masing-masing.
“Bandar itu hampir kosong, kecuali beberapa keluarga yang tinggal. Kemudian serangan udara berlaku. Kami merawat lima mangsa cedera dan lima lagi meninggal dunia,” tambahnya.
Serangan ke atas kawasan kediaman ini menambah kebimbangan mengenai keselamatan orang awam di selatan Lubnan, ketika konflik antara Israel dan kumpulan bersenjata Hezbollah terus memuncak.