ABU DHABI: Sistem pertahanan udara Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Sabtu mengesan 16 peluru berpandu balistik dengan 15 daripadanya berjaya dipintas dan dimusnahkan, manakala satu lagi jatuh ke laut, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Sistem pertahanan udara negara itu turut mengesan 121 dron dengan 119 berjaya dipintas, sementara dua dron jatuh dalam wilayah UAE.
Sejak bermulanya apa yang disifatkan sebagai pencerobohan Iran, sebanyak 221 peluru berpandu balistik dikesan, dengan 205 daripadanya dimusnahkan, manakala 14 jatuh ke laut dan dua peluru berpandu mendarat dalam wilayah UAE.
Sebanyak 1,305 dron Iran turut dikesan dengan 1,229 berjaya dipintas sementara 76 dron jatuh dalam wilayah UAE. Selain itu, lapan peluru berpandu krus juga dikesan dan berjaya dimusnahkan.
Menurut WAM, serangan itu mengakibatkan tiga kematian melibatkan warga Pakistan, Nepal dan Bangladesh, serta 112 kecederaan ringan dalam kalangan individu daripada pelbagai kerakyatan termasuk Emiriah, Mesir, Ethiopia, Filipina, Pakistan, Iran, India, Bangladesh, Sri Lanka, Azerbaijan, Yaman, Uganda, Eritrea, Lubnan, Afghanistan, Bahrain, Comoros dan Turkiye.
Kementerian Pertahanan UAE menegaskan yang pihaknya sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi sebarang ancaman dan akan bertindak tegas terhadap sebarang cubaan yang menjejaskan keselamatan negara, selain memastikan perlindungan kedaulatan, keselamatan dan kestabilan UAE serta kepentingan dan keupayaan nasionalnya.
-- BERNAMA-WAM