Skip to main content

Dunia

Penutupan Masjid Al-Aqsa masuk hari ke-29 susulan sekatan berterusan

A view of the Silwan neighbourhood of East Jerusalem and the Al-Aqsa Mosque compound above it, January 20, 2026. REUTERS/Ammar Awad
Pada hari Jumaat, pihak berkuasa Israel turut mengenakan sekatan ketat yang menghalang solat Jumaat daripada diadakan di Masjid Al-Aqsa. - Reuters

BAITULMUQADDIS: Pihak berkuasa Israel terus menutup kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis yang diduduki, sekali gus menghalang jemaah daripada memasukinya untuk hari ke-29 berturut-turut dengan alasan keselamatan, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Langkah ini berlaku seiring dengan pengasingan berterusan Bandar Lama Baitulmuqaddis melalui sekatan ketenteraan dan penempatan besar-besaran pasukan Israel di seluruh kawasan kejiranannya, dengan hanya membenarkan penduduk masuk.

Pada hari Jumaat, pihak berkuasa Israel mengenakan sekatan ketat yang menghalang solat Jumaat daripada diadakan di Masjid Al-Aqsa.

Polis ditempatkan secara besar-besaran di pintu masuk Bandar Lama dan pintu masjid, menghalang jemaah serta memaksa ratusan orang menunaikan solat di jalan berhampiran.

Penutupan ini, yang berterusan sejak akhir Februari, berlaku dalam keadaan langkah keselamatan yang belum pernah berlaku sebelum ini, selaras dengan pengisytiharan darurat.

Sekatan bukan sahaja tertumpu kepada tapak suci umat Islam. Gereja Holy Sepulchre juga kekal ditutup kepada penganut dan pelawat, mencerminkan dasar menyeluruh untuk mengasingkan bandar suci itu.

Di kawasan berhampiran Baitulmuqaddis, pasukan Israel mengejar jemaah yang cuba berkumpul di Jalan Salah al-Din dan kawasan berhampiran tembok Bandar Lama. Mereka menggunakan kekerasan untuk menyuraikan mereka dan menghalang solat berjemaah di luar kawasan masjid.

Saksi berkata hanya pengawal Al-Aqsa dan kakitangan Jabatan Wakaf Islam dibenarkan berada di dalam kawasan masjid.

Solat diadakan di dalam dewan solat berbumbung dengan jumlah terhad, manakala kawasan halaman luar kekal kosong tanpa kehadiran jemaah yang biasanya memenuhi ruang itu ketika solat Jumaat.

--BERNAMA-WAFA

Must Watch Video