KATHMANDU: Pendaki Sherpa legenda, Kami Rita Sherpa, sekali lagi memecahkan rekod dunia miliknya selepas berjaya menawan puncak Gunung Everest buat kali ke-32.
Kami Rita, 56, mencapai puncak setinggi 8,849 meter itu kira-kira jam 10.12 pagi waktu tempatan (12.27 tengah hari waktu Malaysia) melalui laluan permatang tenggara.
Beliau mengetuai sekumpulan pendaki antarabangsa dalam ekspedisi pertamanya bagi musim bunga 2026 anjuran syarikat 14 Peaks Expedition.
Dilahirkan di perkampungan Thame di daerah Solukhumbu — kampung halaman pendaki perintis Everest, Tenzing Norgay — Kami Rita memulakan kerjayanya sebagai pemandu gunung sejak 1992.
Beliau melakukan pendakian rasmi pertama ke Everest pada Mei 1994 dan sejak itu hampir setiap tahun kembali menawan puncak tersebut, selain mendaki gunung lain seperti K2, Cho Oyu, Manaslu dan Lhotse.
Selain kejayaan luar biasa Kami Rita, hari yang sama turut menyaksikan pendaki wanita tersohor Nepal, Lhakpa Sherpa, 52, memecahkan rekod dunia kategori wanita apabila berjaya menakluk puncak Everest buat kali ke-11.
Komuniti Sherpa di Nepal memainkan peranan keselamatan kritikal dalam industri pelancongan mendaki gunung, termasuk memasang tali panduan serta membawa peralatan logistik untuk pendaki asing.
Kerajaan Nepal dilaporkan mengeluarkan sebanyak 414 permit pendakian Everest bagi musim bunga tahun ini, yang dijangka menjana pendapatan besar kepada sektor pelancongan negara itu.