Skip to main content

Malaysia

Pulau Tenggol antara destinasi selam skuba terbaik negara

BERNAMA
Pulau berkeluasan 232 hektar itu digelar sebagai “syurga penyelam skuba” kerana menawarkan pengalaman selaman unik dengan kejernihan air laut, ekosistem marin yang bersih serta pelbagai spesies hidupan laut eksotik yang sukar dijumpai di lokasi lain. - Gambar Bernama

DUNGUN: Pulau Tenggol terus dikenali sebagai antara destinasi selam skuba terbaik di Malaysia susulan keindahan terumbu karangnya yang masih terpelihara dan kaya dengan biodiversiti marin, sekali gus menarik perhatian penyelam tempatan serta antarabangsa.

Pulau berkeluasan 232 hektar itu digelar sebagai “syurga penyelam skuba” kerana menawarkan pengalaman selaman unik dengan kejernihan air laut, ekosistem marin yang bersih serta pelbagai spesies hidupan laut eksotik yang sukar dijumpai di lokasi lain.

Penyelam berpengalaman, Mohammad Johan Arman, 29, berkata kebanyakan kawasan terumbu karang di Pulau Tenggol masih dalam keadaan sihat dan sangat menarik untuk diterokai.

“Setiap kali saya menyelam di sini, saya dapat melihat keindahan yang berbeza kerana keadaan dasar lautnya sentiasa memberi pengalaman baharu kepada penyelam. Kejernihan air serta kepelbagaian hidupan marin menjadikan Pulau Tenggol mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.

“Ramai penyelam sebenarnya memasang impian untuk datang ke Pulau Tenggol kerana keunikannya itu,” katanya ketika ditemui di Pulau Tenggol di sini baru-baru ini.

Seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Ardila Mohd, 38, berkata ekosistem laut yang masih terpelihara menjadikan Pulau Tenggol pilihan utama khususnya dalam kalangan penyelam berpengalaman yang ingin menikmati keindahan dasar laut.

“Penyelam berpeluang melihat pelbagai hidupan laut seperti ‘batfish’, penyu dan ikan badut yang menjadi antara tarikan utama di pulau ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Razali Idris berkata Pulau Tenggol bukan sahaja memiliki nilai pelancongan yang tinggi, malah memainkan peranan penting dalam memperkukuh sektor ekopelancongan berasaskan alam semula jadi di negeri ini.

Beliau berkata lokasi seperti Coral Garden dan Amazing Graze menjadi antara tarikan utama yang sering dikunjungi penyelam berikutan keindahan dasar lautnya yang masih terpelihara.

“Kerajaan negeri komited untuk memastikan Pulau Tenggol terus dipelihara sebagai khazanah marin yang bernilai tinggi. Pada masa sama, kita mahu industri pelancongan di sini memberi manfaat secara mampan kepada komuniti setempat,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video