NEW DELHI: Presiden Maldives Mohamed Muizzu, Menteri Perancangan Pakistan Ahsan Iqbal dan Menteri Luar Nepal Balananda Sharma antara tetamu asing yang akan menghadiri majlis angkat sumpah Perdana Menteri baharu Bangladesh pada Selasa.
Memandangkan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif kini berada di luar negara untuk satu lawatan, negara itu akan diwakili oleh menteri persekutuan bagi perancangan, pembangunan dan inisiatif khas, menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan pada Isnin.
“Penyertaan Pakistan dalam majlis itu mencerminkan sokongannya terhadap proses demokrasi Bangladesh dan mengukuhkan komitmennya untuk memperkukuh lagi hubungan dua hala serta memperdalam kerjasama yang saling menguntungkan antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan kementerian itu.
Kerajaan baharu yang dipimpin oleh ketua Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) Tarique Rahman akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden Mohammed Shahabuddin di parlimen kebangsaan Jatiya Sangsad.
Ramai kenamaan asing dijangka menghadiri majlis tersebut. Presiden Maldives akan berada di Dhaka pada Selasa, manakala Menteri Luar Abdulla Khaleel dijadualkan tiba pada Isnin, lapor agensi United News of Bangladesh.
Nepal diwakili oleh menteri luarnya, Sharma. Lawatan menteri tersebut ke Dhaka mencerminkan komitmen Nepal untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala dan mempererat ikatan kerjasama dengan Bangladesh, menurut kenyataan Kementerian Luar Nepal pada Isnin.
India menghantar Speaker dewan rendah parlimen Lok Sabha, Om Birla untuk menghadiri majlis mengangkat sumpah itu. Penyertaan Birla dalam "acara penting ini menekankan persahabatan yang mendalam dan berkekalan antara rakyat India dan Bangladesh, sekali gus mengesahkan semula komitmen teguh India terhadap nilai demokrasi yang menyatukan kedua-dua negara kita," menurut kenyataan akhbar Kementerian Hal Ehwal Luar India pada Ahad.
Menteri Kesihatan dan Media Massa Nalinda Jayatissa pula akan mewakili Sri Lanka.
Pemimpin Asia Selatan telah mengucapkan tahniah kepada Tarique Rahman dan partinya atas kemenangan besar dalam pilihan raya parlimen ke-13 Bangladesh yang diadakan pada Khamis.
Ketua Penasihat kerajaan interim Muhammad Yunus dipuji secara meluas atas kepimpinan beliau selepas kebangkitan rakyat menjatuhkan rejim Sheikh Hasina yang tidak popular pada Ogos 2024. Yunus menyampaikan ucapan perpisahan kepada kakitangannya di pejabat beliau di kawasan Tejgaon, Dhaka pada Isnin ketika negara dengan 175 juta penduduk itu bersiap sedia menyambut kerajaan baharu yang dipilih.
-- BERNAMA