FRANKFURT: Sebuah patung Anugerah Akademi (Oscar) yang dilaporkan hilang selepas pemenangnya dihalang daripada membawanya ke dalam pesawat di sebuah lapangan terbang di New York kini telah ditemui, menurut syarikat penerbangan terlibat.
Pemenang Oscar, Pavel Talankin, berkata beliau membawa patung emas itu dalam beg kabin bagi penerbangan ke Jerman pada Rabu, namun dihalang oleh pihak keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy kerana bimbang ia boleh digunakan sebagai senjata.
Apabila tiba di Jerman, Oscar bagi dokumentari 'Mr Nobody Against Putin' didapati hilang.
Lufthansa kemudiannya mengesahkan bahawa patung berkenaan telah ditemui dan berada dalam jagaan selamat syarikat itu di Frankfurt.
“Kami amat kesal atas kesulitan yang berlaku dan telah memohon maaf kepada pemilik,” menurut kenyataan Lufthansa yang menambah bahawa susunan sedang dibuat untuk memulangkan patung tersebut secepat mungkin.
Rakan pengarah dokumentari itu, David Borenstein, berkata beliau lega apabila Oscar berkenaan ditemui selepas kekecohan berlaku di lapangan terbang.
Penerbit eksekutif, Robin Hessman, pula berkata Talankin sebelum ini pernah terbang berkali-kali bersama Oscar dan trofi Bafta tanpa sebarang masalah.
Patung Oscar setinggi 34 sentimeter itu kerap dibawa Talankin ke acara tayangan dan sesi dialog, termasuk ketika lawatannya ke sebuah universiti di New York.
'Mr Nobody Against Putin' mendokumentasikan pengalaman Talankin merakam propaganda perang di sebuah sekolah di Rusia selepas pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022.
Dokumentari itu kini diharamkan di Rusia, manakala Talankin hidup dalam buangan di Eropah atas faktor keselamatan.