BAITULMAQDIS: Polis Israel menahan seorang lelaki berusia 36 tahun susulan serangan terhadap seorang biarawati warga Perancis di Baitulmaqdis Timur yang diduduki Israel, dalam kejadian yang mencetuskan kecaman antarabangsa.
Rakaman video yang tersebar menunjukkan biarawati berkenaan ditolak dari belakang sehingga terhantuk kepalanya pada bongkah batu sebelum ditendang ketika terbaring di atas tanah.
Serangan itu dipercayai dilakukan oleh seorang lelaki beragama Yahudi, berdasarkan rakaman dan pakaian yang dipakainya.
Polis Israel memaklumkan lelaki berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan serangan bermotif kebencian, namun setakat ini belum didakwa.
Pihak polis turut mengeluarkan rakaman penahanan suspek dan menegaskan bahawa mereka mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap keganasan ke atas penganut agama.
Pengarah Sekolah Alkitabiah dan Arkeologi Perancis, Bapa Olivier Poquillon, berkata biarawati itu menjadi mangsa serangan tanpa provokasi, sambil menggesa pihak berkuasa bertindak tegas.
Gambar yang menunjukkan kecederaan pada wajah mangsa turut tersebar.
Konsulat Perancis di Baitulmaqdis mengutuk keras serangan itu, manakala Kementerian Luar Israel menyifatkannya sebagai “perbuatan memalukan” yang bercanggah dengan nilai kebebasan beragama dan kewujudan bersama.
Insiden itu berlaku di tengah peningkatan gangguan terhadap paderi dan penganut Kristian oleh pelampau Yahudi di Kota Lama Baitulmaqdis.
Pemimpin gereja sebelum ini menuduh Israel cuba mengubah status quo di tapak suci Kristian.
Serangan tersebut berlaku berhampiran Cenacle di Gunung Zion, lokasi yang dianggap suci oleh penganut Kristian dan Yahudi, sekali gus menambah sensitiviti kejadian berkenaan.