HORSENS (DENMARK): Perancis mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya mara ke separuh akhir Piala Thomas, selepas mengejutkan juara 2014 Jepun, dengan kemenangan bergaya 3-0 pada peringkat suku akhir edisi 2026 di Forum Horsens, hari ini.
Perseorangan pertama mereka yang juga ke-4 dunia Christo Popov, memberikan permulaan cemerlang buat Perancis apabila menewaskan pemain ke-9 dunia Kodai Naraoka, 21-17, 21-17 dalam pertarungan 67 minit.
Juara Eropah 2025 Alex Lanier, kemudiannya mengukuhkan kedudukan Perancis dengan mengalahkan pemain ke-19 dunia Yushi Tanaka, 21-15, 21-17.
Pemain ke-17 dunia Junior Popov kemudiannya mengesahkan sejarah baharu itu dengan menundukkan pemain ke-20 dunia Koki Watanabe, 21-19, 23-21 sekali gus memastikan sekurang-kurangnya mereka untuk memperoleh satu pingat dalam kejohanan berpasukan badminton berprestij itu.
Kemenangan ini meneruskan perjalanan cemerlang Perancis di Horsens, selepas sebelum ini turut mengejutkan juara 14 kali, Indonesia, 4-1 dalam Kumpulan D pada Selasa.
Keputusan itu menyaksikan Indonesia tersingkir pada peringkat kumpulan buat kali pertama dalam sejarah Piala Thomas.
Perancis, yang dilabel sebagai “kuda hitam” kejohanan, kini akan berdepan juara 2022, India pada aksi separuh akhir esok, selepas mereka dengan mudah menewaskan Taiwan 3-0, awal hari ini.
Sementara itu, pasukan tuan rumah Denmark mara ke kelompok empat terakhir, selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Thailand.
Denmark bakal bertemu juara bertahan China, yang menyingkirkan juara lima kali, Malaysia 3-0 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Final Piala Thomas 2026, yang bermula pada 24 April, akan berlangsung sehingga Ahad.
-- BERNAMA