Skip to main content

Dunia

OpenAI gesa California, Delaware siasat kelakuan anti-persaingan Musk

41761701807_ElonMusk.jpg
OpenAI gesa Peguam Negara negeri California dan Delaware supaya mempertimbangkan siasatan terhadap Elon Musk (gambar) serta rakan sekutunya berhubung apa yang disifatkan sebagai “tingkah laku tidak wajar dan anti-persaingan.” - Gambar fail

ORGANISASI penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI), OpenAI menggesa Peguam Negara negeri California dan Delaware supaya mempertimbangkan siasatan terhadap Elon Musk serta rakan sekutunya berhubung apa yang disifatkan sebagai “tingkah laku tidak wajar dan anti-persaingan”, menjelang perbicaraan antara kedua-dua pihak yang dijadualkan bermula bulan ini.

Musk memfailkan saman terhadap OpenAI; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sam Altman serta beberapa pihak lain pada 2024, dengan menuduh mereka melanggar misi penubuhan OpenAI ketika syarikat itu menjalani penstrukturan semula menjadi entiti berasaskan keuntungan. 

Musk merupakan pengasas bersama OpenAI pada 2015 sebelum meninggalkan organisasi itu pada 2018 dan kemudiannya melancarkan pesaingnya, xAI, yang menghasilkan chatbot Grok.

Dalam satu pemfailan mahkamah pada Ogos, OpenAI menyatakan Musk telah berusaha mendapatkan sokongan pesaingnya, Mark Zuckerberg, bagi tawaran yang dibuat oleh konsortium beliau untuk mengambil alih OpenAI awal tahun lalu, namun Ketua Pegawai Eksekutif Meta Platforms itu tidak menyertai usaha berkenaan.

Pada Isnin, syarikat pembangun ChatGPT itu menghantar sepucuk surat kepada Peguam Negara California, Rob Bonta dan Peguam Negara Delaware, Kathy Jennings, dengan menyatakan bahawa saman tersebut menuntut ganti rugi melebihi AS$100 bilion daripada yayasan bukan keuntungan OpenAI, yang menurutnya akan melumpuhkan organisasi itu secara berkesan.

Seorang hakim di Oakland, California, memutuskan pada Januari bahawa perbicaraan tersebut akan didengar oleh juri dan dijangka bermula pada April.

Ketua pegawai strategi OpenAI, Jason Kwon dalam surat yang dihantar pada Isnin itu berkata, tindakan saman berkenaan boleh menjejaskan usaha syarikat untuk memastikan kecerdasan buatan umum, atau AGI memberi manfaat kepada seluruh umat manusia.

Pemfailan Musk dalam kes litigasi itu “mencadangkan bahawa pejabat tuan-puan tidak menyiasat secara menyeluruh pelan OpenAI untuk menambah modal semula dan hanya bergantung kepada janji mengenai tindakan OpenAI pada masa hadapan,” kata Kwon.

Must Watch Video