Skip to main content

Malaysia

KTMB tawar 347,000 tiket sempena cuti panjang, terbesar dalam sejarah perkhidmatan

51674736101_TBLOGOKTMB.jpg
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan 347,000 tempat duduk bersempena cuti panjang yang akan tiba, menjadikan rekod penawaran tiket terbesar dalam sejarah perkhidmatannya.

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan 347,000 tempat duduk bersempena cuti panjang yang akan tiba, menjadikan rekod penawaran tiket terbesar dalam sejarah perkhidmatannya.

Langkah itu diambil bagi menampung lonjakan permintaan luar biasa ekoran pertembungan tiga cuti umum utama dalam tempoh dua minggu melibatkan sambutan Aidiladha, Hari Wesak dan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata jumlah kapasiti yang disediakan pada musim perayaan kali ini memecahkan rekod penawaran perkhidmatan tren sebelum ini.

“Kali ini adalah cuti panjang dan kita menawarkan jumlah tiket terbesar yang tidak pernah kita tawarkan pada Aidiladha, malah ia melepasi jumlah jualan pada Aidilfitri baru-baru ini.

“Kita menyediakan 347,000 tempat duduk berbanding 150,000 pada hari raya lepas, bermaksud ketersediaan kapasiti kali ini meningkat lebih dua kali ganda,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di KL Sentral, di sini hari ini.

Azlan Shah berkata daripada keseluruhan tiket yang merangkumi lebih 900 perjalanan tren, hampir 80 peratus atau 270,000 tiket telah habis terjual setakat ini, namun masih terdapat 60,000 hingga 70,000 tiket yang berbaki dan sedia untuk dibeli oleh pelanggan.

Beliau berkata tiket bagi sektor Pantai Timur melibatkan perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran telah habis dijual, manakala sektor selatan (Kuala Lumpur-Johor Bahru) mencatatkan jualan 88 peratus dan sektor utara (Kuala Lumpur-Padang Besar) mencecah 82 peratus.

Bagi meringankan kos perjalanan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman, KTMB turut melancarkan program khas MADANI30 yang membolehkan pelanggan menikmati diskaun sebanyak 30 peratus mengikut terma tertentu.

“Bagi perkhidmatan Ekspres Lambaian Aidiladha (ELA) pula, kita memberikan diskaun 30 peratus di bawah kategori superior seat bagi mengurangkan bebanan dan membantu rakyat bergerak ke destinasi mereka,” kata Azlan Shah.

Berhubung kesiapsiagaan operasi, beliau memberi jaminan bahawa aspek teknikal telah diaktifkan sepenuhnya, termasuk ketersediaan set tren, landasan, sistem semboyan serta pelan kesinambungan perniagaan demi memastikan keselesaan dan keselamatan penumpang.

Beliau turut menegaskan bahawa isu penipuan tiket palsu tidak akan timbul susulan penggunaan sistem pas masuk tanpa tiket fizikal menerusi aplikasi telefon pintar serta Sistem Pembayaran Terbuka yang diguna pakai secara menyeluruh oleh KTMB.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement