KUALA LUMPUR: Kalangan menteri-menteri perdagangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) hari ini menegaskan komitmen untuk melonjakkan integrasi ekonomi serantau yang dipacu pasaran, termasuk menerusi agenda Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik.
Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan pasca Mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan APEC di Suzhou, Jiangsu, China dari 22-23 Mei, 2026, barisan menteri itu turut menzahirkan hasrat untuk terus bekerjasama mengukuhkan perkongsian pengalaman, pembangunan kapasiti, penglibatan perniagaan serta kerjasama teknikal dalam kalangan negara anggota, antaranya melalui Inisiatif Keperluan Pembangunan Kapasiti (CBNI).
“Sebagaimana digariskan dalam Kenyataan Ichma, kami menyokong usaha untuk menggalakkan tahap piawaian tinggi serta meningkatkan bidang konvergens dalam perjanjian perdagangan bagi menambah baik persekitaran dagangan dan pelaburan untuk perniagaan serta rakyat,” kata mereka.
Mesyuarat menteri-menteri perdagangan itu telah dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan China Wang Wentao.
Barisan menteri-menteri itu turut menegaskan komitmen terhadap APEC sebagai forum perdana bagi kerjasama ekonomi serantau, malah menekankan kepentingan usaha bersama untuk menangani cabaran ekonomi serta mewujudkan rantau Asia Pasifik yang lebih berdaya tahan serta makmur.
Pada masa sama, mereka mengetengahkan kepentingan mengekalkan rantaian bekalan yang berdaya tahan, terutama bagi barangan perlu seperti produk tenaga dan derivatif hiliran yang penting.
“Kami mengakui demi kepentingan bersama, (sewajarnya) rantau ini kekal saling berhubung manakala laluan perdagangan terus dibuka bagi kemudahan aliran dagangan, termasuk bekalan tenaga serta barangan perlu lain.”
Atas alasan itu, barisan menteri itu menegaskan kepentingan aspek ketelusan membabitkan langkah-langkah yang berkemungkinan menjejaskan atau mengganggu rantaian bekalan.
Selain itu, mereka turut menzahirkan komitmen untuk memajukan tindakan konkrit dalam memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan daya tahan sistem agromakanan di serata rantau APEC, termasuk menerusi kerjasama praktikal selain mengiktiraf rangka kerja pakatan itu yang sedia ada.
Mereka juga menggalakkan kalangan anggota untuk memajukan kerjasama kesalinghubungan dengan mengambil kira dapatan serta saranan daripada semakan akhir Pelan Tindakan Kesalinghubungan APEC (2015-2025).
Menyentuh ekonomi digital, kalangan menteri perdagangan itu menyatakan harapan bagi pelaksanaan berterusan Pelan Hala Tuju Internet dan Ekonomi Digital APEC dalam menangani peluang dan cabaran baharu dalam landskap digital yang berkembang pesat.
“Kami akan meneruskan kerjasama dalam memudah cara aliran data merentasi sempadan, mengukuhkan keyakinan perniagaan dan pengguna dalam transaksi digital di samping memastikan perlindungan serta privasi data,” kata mereka.
Tidak ketinggalan, menteri-menteri itu menegaskan komitmen terhadap aspek memudah cara dagangan tanpa kertas di rantau itu dengan menggalakkan aspek pengiktirafan rentas sempadan terhadap dokumen perdagangan elektronik seperti bil muatan dan invois elektronik selain aspek pembangunan kapasiti.
Dalam pada itu, mereka turut menggesa usaha berterusan untuk meningkatkan keselamatan, akses atau kebolehcapaian serta kepercayaan untuk merealisasikan kecerdasan buatan (AI) untuk semua.
“Ini termasuk menggalakkan penggunaan AI dalam perdagangan antarabangsa, pembangunan ekosistem teknologi maklumat serta komunikasi serantau dengan menumpukan aspek pertukaran maklumat, kerjasama dan pembangunan kapasiti,” kata mereka.
-- BERNAMA