Skip to main content

Malaysia

Dari pejabat pos menjadi hab budaya, bangunan ikonik di KL tarik tumpuan

KUALA LUMPUR, 3 Feb -- Suasana di sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) di ibu negara kembali meriah apabila mercu tanda ikonik itu dibuka semula kepada orang ramai bermula hari ini, selepas ditutup selama setahun bagi menjalani kerja-kerja pemuliharaan tahun lalu.
Bangunan Pejabat Pos Besar Lama yang suatu ketika dahulu menempatkan kaunter pos serta perkhidmatan telegraf, kini dibuka kepada orang awam sebagai destinasi budaya dan kulinari. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Bangunan bersejarah Pejabat Pos Besar Lama (PPBL) di ibu negara yang mula beroperasi pada tahun 1907 kini diberi nafas baharu menerusi proses transformasi dan pemuliharaan menyeluruh.

Bangunan yang suatu ketika dahulu menempatkan kaunter pos serta perkhidmatan telegraf, kini dibuka kepada orang awam sebagai destinasi budaya dan kulinari.

Sebaik memasuki pintu utama, pengunjung disambut dengan lapan kedai yang mengetengahkan kepelbagaian makanan Malaysia merangkumi tradisi Melayu, Cina, India serta masyarakat Borneo.

Kerja pemuliharaan yang bermula pada Februari 2025 itu mengekalkan elemen asal bangunan seperti bata tanah liat, gerbang berulang, tangga heksagon serta ciri era kehakiman sekitar 1990-an.

Ketua Pegawai Eksekutif Aset Warisan, Hilme Hassan berkata, objektif projek tersebut adalah untuk menjadikan bangunan bersejarah itu sebagai ruang awam aktif dan bukan sekadar monumen sejarah.

Menurut beliau, transformasi tersebut turut mengubah corak kunjungan pelawat ke kawasan Dataran Merdeka apabila mereka kini meluangkan lebih banyak masa meneroka bangunan serta menikmati pengalaman budaya ditawarkan.

“Sebelum ini pelawat datang ke Dataran Merdeka, ambil gambar dan terus pergi. Tetapi sekarang kita dapat lihat coraknya berubah apabila mereka masuk ke bangunan ini, melawat galeri dan menikmati makanan.

"Pengunjung kini meluangkan lebih banyak masa di sini berbanding sekadar turun bas, ambil gambar dan berlalu pergi,” katanya semasa sidang media, di sini, pada Sabtu.

Selain berfungsi sebagai destinasi pelancongan, suasana kondusif di PPBL juga membolehkan masyarakat menggunakan premis sebagai lokasi pertemuan, acara komuniti, aktiviti kreatif serta ruang interaksi sosial.

Inisiatif pemuliharaan itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM600 juta di bawah Dana Warisan melibatkan Khazanah Nasional yang turut merangkumi beberapa mercu tanda utama lain termasuk Carcosa Seri Negara, Panggung Bandaraya dan Muzium Tekstil Negara.

Must Watch Video

Advertisement