Skip to main content

Dunia

OPEC+ tingkatkan pengeluaran minyak Mei ini di tengah krisis tenaga global

FILE PHOTO: A model of an oil pump is seen in front of the OPEC logo in this illustration taken January 9, 2026. REUTERS/Dado Ruvic/Illustration/File Photo
Kumpulan lapan negara itu dijadualkan mengadakan mesyuarat seterusnya pada 3 Mei bagi mempertimbangkan langkah tambahan berdasarkan perkembangan pasaran. - Foto REUTERS

VIENNA: Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) bersama sekutunya, atau dikenali sebagai OPEC+, memutuskan untuk meningkatkan pengeluaran minyak sebanyak 206,000 tong sehari mulai Mei ini, menurut satu kenyataan rasmi pertubuhan itu pada Ahad.

Keputusan tersebut dicapai susulan mesyuarat secara maya yang disertai lapan negara utama OPEC+, iaitu Arab Saudi, Russia, Iraq, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman, yang menilai keadaan serta prospek pasaran tenaga global.

Dalam konteks konflik ketenteraan yang berterusan di Asia Barat, kumpulan itu menegaskan kepentingan kritikal untuk melindungi laluan perkapalan antarabangsa bagi memastikan aliran bekalan tenaga global tidak terganggu.

OPEC+ turut menyuarakan kebimbangan terhadap serangan ke atas infrastruktur tenaga, yang disifatkan memberi kesan serius kepada ketersediaan bekalan.

Menurut mereka, pemulihan aset tenaga yang rosak bukan sahaja memakan kos tinggi, malah memerlukan tempoh yang lama sebelum kembali beroperasi sepenuhnya.

Kumpulan lapan negara itu dijadualkan mengadakan mesyuarat seterusnya pada 3 Mei bagi mempertimbangkan langkah tambahan berdasarkan perkembangan pasaran.

Sejak serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Februari lalu, konflik di rantau Asia Barat telah menyebabkan gangguan ketara terhadap aliran tenaga serantau, dengan penghantaran minyak mentah dan produk bertapis dilaporkan merosot dengan ketara.

Langkah meningkatkan pengeluaran ini dilihat sebagai usaha OPEC+ untuk menstabilkan pasaran dan menangani tekanan bekalan di tengah krisis tenaga global yang semakin meruncing.

 

Must Watch Video