PETALING JAYA: Prospek ASEAN kekal positif walaupun berdepan tekanan geopolitik susulan konflik di Asia Barat yang melibatkan Iran dan Amerika Syarikat, menurut Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway Jeffrey Cheah.
Berucap pada syarahan awam bertajuk “The Future of ASEAN in a Multi-Polar World”, beliau menyifatkan situasi di Asia Barat sebagai membimbangkan, namun yakin keadaan lebih baik mampu dicapai apabila negara anggota ASEAN serantau mengharungi cabaran semasa.
Cheah turut memuji kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sepanjang Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun lepas, yang menurutnya berjaya meningkatkan profil rantau itu di peringkat global.
“ASEAN telah banyak berkembang, dan Perdana Menteri telah melakukan tugas yang baik dalam membawa ASEAN ke pentas dunia serta menyedarkan masyarakat antarabangsa bahawa ASEAN terus mencatat kemajuan.
“Apabila isu minyak dan perkara berkaitan dapat diuruskan, China dan banyak negara lain sedang berusaha beralih kepada ekonomi hijau, yang merupakan perkembangan positif dan sesuatu yang kita semua sokong,” katanya.
Sementara itu, Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan (SDSN) bagi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Jeffrey D. Sachs berkata mata wang China, yuan, berpotensi muncul sebagai mata wang global utama dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Menurut beliau, sistem pembayaran global kini sedang mengalami perubahan ketara apabila semakin banyak negara beralih kepada mekanisme pembayaran selain dolar Amerika Syarikat.
“Ini merupakan antara fokus utama BRICS, iaitu mewujudkan kaedah penyelesaian transaksi yang tidak terdedah kepada sekatan Amerika Syarikat, dan perkembangan yang berlaku ketika ini mempercepatkan proses tersebut,” katanya.
Beliau berkata transaksi yang didenominasikan dalam renminbi berpotensi menyumbang kira-kira 20 peratus daripada penyelesaian perdagangan global dalam tempoh 10 tahun akan datang, manakala penyelesaian menggunakan dolar Amerika Syarikat mungkin menurun kepada di bawah 50 peratus.
“Perkembangan ini boleh melemahkan satu daripada alat pengaruh strategik utama Amerika Syarikat kerana kelebihan kewangannya bergantung kepada sistem yang semakin boleh dielakkan,” katanya.
Sachs turut memaklumkan bahawa China berada di hadapan dalam pelbagai teknologi masa depan, khususnya teknologi hijau berkaitan peralihan tenaga.
Antaranya termasuk penjanaan tenaga boleh baharu, teknologi fotovoltaik, turbin angin, tenaga nuklear generasi keempat serta ekonomi hidrogen.
-- BERNAMA