Skip to main content

Dunia

Marwan Barghouti alami penderaan fizikal serius – Peguam

71760320709_MarwanalBarghouti.jpg
Perkara itu didedahkan peguam bela selepas melawat Marwan Barghouti (tengah) pada 12 April, yang menurutnya ditahan dalam keadaan serba kekurangan serta tanpa kemudahan asas. -Gambar fail

BAITULMUQADDIS: Peguam kepada pemimpin kanan Fatah, Marwan Barghouti, mengesahkan anak guamnya mengalami penderaan fizikal serius termasuk diserang anjing dan dibiarkan tanpa rawatan perubatan ketika dalam tahanan di Israel.

Peguam bela, Ben Marmarelli, menerusi satu hantaran di platform X mendedahkan perkara itu selepas melawat Marwan Barghouti pada 12 April, yang menurutnya ditahan dalam keadaan serba kekurangan serta tanpa kemudahan asas.

"Apa yang saya sahkan melalui lawatan ini amat membimbangkan. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Marwan Barghouti telah menjadi mangsa kepada tiga serangan ganas," tulis Marmarelli.

 

 

Ia termasuk satu insiden pada 8 April di sebuah fasiliti tahanan yang dikenali sebagai Ganot, apabila beliau dipukul dengan teruk sebelum dibiarkan berdarah selama lebih dua jam selepas permohonan rawatan perubatan ditolak.

Beliau berkata, Marwan Barghouti turut diserang semasa proses pemindahan dari Penjara Megiddo ke fasiliti berkenaan pada 25 Mac.

Dalam satu lagi kejadian pada 24 Mac di Penjara Megiddo, Marmarelli mendakwa beberapa pengawal membawa masuk seekor anjing ke dalam sel Marwan Barghouti sebelum menghenyaknya ke lantai dan membiarkan haiwan itu menyerangnya berulang kali.

“Ini bukan insiden terpencil. Ia membentuk corak penderaan yang jelas dan semakin memuncak, termasuk keganasan fizikal, pengabaian perubatan serta layanan yang meletakkan beliau dalam risiko ketara,” kata Marmarelli.

Tambahnya, sepanjang lawatan selama kira-kira lima jam itu, komunikasi terpaksa dilakukan dengan cara menjerit di sebalik cermin kaca berikutan sistem telefon yang tidak berfungsi, selain beliau sendiri dinafikan akses kepada makanan dan air.

Marwan Barghouti, yang sedang menjalani lima hukuman penjara seumur hidup atas pertuduhan berkaitan Intifada kedua, dilaporkan kekal kritis serta masih mengambil berat akan keadaan keluarga dan rakyat Palestin, meskipun berada di bawah tekanan fizikal dan mental yang hebat.

Must Watch Video